Assalamualaikum wbt.
Saya baru sahaja selesai membaca buku
tulisan Teme Abdullah yang bertajuk “Impian Jalanan”. Ini merupakan kali
pertama saya membaca buku tulisan Teme Abdullah dan perkataan yang terbaik
untuk menggambarkan buku ini dalam bahasa Jepun ialah 面白い (baca: omoshiroi). Boleh cari sendiri maksud perkataan ini
dengan Cik Google Translate. Watak Iskandar yang hidup dalam setiap bab
membuatkan saya mengimbau kenangan sewaktu saya di bangku sekolah rendah. Teme
berjaya mengolah cerita dengan baik dan sangat dekat dengan realiti kehidupan
sebenar. Tetapi tulisan saya kali ini bukanlah untuk memberi komen tentang buku
ini, hanya ingin berkongsi kisah yang membuatkan perspektif saya berubah
tentang zuhud yang saya dapat melalui buku ini.
Gambar: Kulit buku Impian
Jalanan
Dalam buku “Impian Jalanan” pada bab 16:
Zuhud, ibu Iskandar menasihati anaknya supada menjadi seorang arikitek, dan
andai kata dikurniakan rezeki untuk menjadi orang kaya jangan lupa untuk
membantu orang yang susah. Tetapi Iskandar membalas dia tidak mahu menjadi
orang kaya dengan alasan orang kaya tidak zuhud. Iskandar ingin menjadi seorang
yang zuhud kerana ustaz di sekolahnya pernah berkata yang orang zuhud senang
masuk syurga. Bagi Iskandar, orang kaya tidak zuhud kerana selalu fikirkan hal
dunia dan sibuk mengumpul harta. Selepas mendengar kata-kata Iskandar, ibunya
mula bercerita mengenai sebuah kisah…….
“Pada suatu hari, ada seorang alim yang
duduk di satu tempat terpencil. Masa dia muda dulu, dia ada seorang kawan baik
yang bersama-sama mengaji agama dengannnya di sebuah madrasah. Mereka berdua
sama-sama mengenal agama dan Tuhan di madrasah tersebut. Mereka berdua
sama-sama menjadi ilmuwan dalam bidang agama. Apabila mereka sudah habis
belajar di madrasah tersebut, mereka pun membawa haluan masing-masing. Hari
berganti hari, tahun berganti tahun. Dipendekkan cerita, salah seorang daripada
dua sahabat ini menjadi orang yang terkenal dengan kehebatan ilmunya. Kini,
beliau digelar Tok Guru. Seorang lagi pula menjadi seorang usahawan terkenal
bergelar Tan Sri.
Tok Guru ni ada ramai anak murid. Pada
suatu hari, salah seorang daripada anak murid dia berkata: Tok Guru… saya
dipanggil untuk memberi tazkirah di rumah seorang ahli perniagaan. Tok Guru pun
berpesan kepada anak muridnya itu: Wahai anak muridku, boleh tak kau tolong
sampaikan sesuatu kepada sahabatku itu? Anak murid dia pun cakap: Boleh, Tok
Guru. Saya berbesar hati untuk menyampaikan.
Kau sampaikan salam aku kepada sahabatku
itu. Minta dia doakan aku di hadapan engkau. Kau dengarlah doanya, dan
ceritakan padaku apabila kau pulang, pesan Tok Guru. Baik Tok Guru, insya-Allah
saya sampaikan, balas anak didiknya itu.
Dia pun tiba di hadapan rumah Tan Sri.
Si anak murid ini tadi terpegun melihat pagar rumah itu yang sangat besar dan
indah.
Belum cukup dengan kejutan tadi,
alangkah terkesimanya dia apabila melihat kebesaran rumah Tan Sri. Tersergam
indah. Penuh dengan manusia yang bersedia untuk mendengar ceramah daripadanya.
Si anak murid ini mencuba untuk menjadi professional dan menyembunyikan
keterujaannya. Dia menjalankan tugasnya sebagai ustaz untuk memberi ceramah di
rumah yang seakan istana tersebut. Selesai memberi ceramah, dia menghabiskan
masa berbual-bual dengan Tan Sri. Dia terharu dengan kerendahan hati dan
kelunakan budi bicara Tan Sri. Betullah kata Tok Gurunya, Tan Sri ini merupakan
orang yang baik dan selalu menolong orang lain.
Di hujung perbualan sebelum si ustaz ini
pulang, dia pun menyampaikan amanat Tok Gurunya kepada Tan Sri.
Ayuh… lanjutkan permintaan itu. Akan ku
cuba tunaikan apa saja permintaan sahabatku Tok Guru yang alim itu.
Tok Guru meminta Tan Sri doakan yang
baik-baik untuk dirinya.
Itu saja? Insya-Allah saya akan doakan
sahabat saya itu. Katakan padanya: Walaupun kita sudah lama tidak bersua muka,
saya sering mendoakannya setiap kali teringat.
Err…hmmm bukan itu saja Tan Sri.
Ya anak muda? Apa lagi yang Tok Guru
kamu minta kamu sampaikan?
Tok Guru meminta supaya Tan Sri
mendoakannya di hadapan saya. Kemudian saya perlu mendengar isi doa Tan Sri dan
sampaikan kepada Tok Guru setelah pulang nanti.
Oh begitu…baiklah, jawab Tan Sri.
Maka Tan Sri pun menadah tangan dan
memejamkan matanya berdoa. Si ustaz tadi pun turut menadah tangan untuk
sama-sama mengaminkan doa Tan Sri yang kaya. Setelah selesai ucapan-ucapan
tahmid dan selawat kepada baginda Rasulullah S.A.W., Tan Sri memulakan doanya:
Ya Allah, Tuhan yang berkuasa membolak-balikkan hati. Engkau tetapkanlah hati
sahabatku Tok Guru di atas jalan yang benar. Kau cabutlah kecintaan kepada
dunia daripada hatinya. Kau hilangkanlah penyakit wahn daripada dirinya.
Jadikanlah dia seorang yang zuhud. Lalu Tan Sri tamatkan doa itu dengan zikir
dan selawat. Mereka mengaminkan doa itu bersama-sama.
Doa ini terngiang-ngiang dalam fikiran
ustaz itu. Baginya, banyak lagi doa yang lebih sesuai. Mengapa pula Tan Sri
mendoakan supaya Tok Guru dicabutkan kecintaan terhadap dunia?
Pakaian Tan Sri bernilai ribuan ringgit,
berbeza dengan persalinan Tok Guru yang lusuh dan mengharap ihsan orang lain.
Jika dilihat dari sudut ini, siapakah yang lebih tinggi cintanya kepada dunia?
Doa itu lebih sesuai jika dipadankan dengan Tan Sri sendiri. Bukan Tok Guru.
Ustaz tersebut tidak berpuas hati. Tanggapannya terhadap Tan Sri berubah. Pada
awalnya, dia merasakan yang Tan Sri merupakan seorang yang merendah diri.
Sekarang dia merasakan Tan Sri adalah orang yang ego. Tan Sri tidak sedar diri
yang dia sendiri sebenarnya mengejar dunia dan membiarkan dunia menguasai
hatinya. Baginya, Tan Sri telah hanyut dibuai harta-harta dunia yang
membelainya. Mungkin juga Tan Sri ingin orang lain tidak tertarik kepada dunia
supaya dia boleh mengutip kekayaan dunia semahu nafsunya.
Sesampainya ke rumah Tok Guru, ustaz
mengetuk pintu usang teratak kecil orang tua tersebut. Sudahkah kau sampaikan
permintaanku kepada Tan Sri? Tok Guru bertanya.
Usah berlengah lagi. Ayuh khabarkan
kepadaku isi doanya. Tok Guru menggesa. Ustaz itu berasa teragak-agak untuk
menyampaikan isi doa tersebut. Tok Guru itu dapat mengesan kegusaran pada anak
muridnya lalu dia bertanya: Mengapa anak muridku? Apakah yang mengganggu
fikiranmu? Anak muridnya itu pun menjawab: Doa Tan Sri…Doa Tan Sri…hmmm.
Kata anak muridnya: Doa Tan Sri mungkin
tidak seperti yang Tok Guru harapkan. Lalu dengan tenang Tok Guru berkata: Tak
mengapa. Sampaikan saja doanya.
Ustaz pun menyampaikan isi doa tersebut:
Tan Sri berdoa agar Allah cabut kecintaan kepada dunia daripada hati Tok Guru.
Tan Sri berdoa agar Tok Guru dibebaskan daripada penyakit wahn dan menjadi
zuhud. Mendengar kata-kata Ustaz, Tok Guru terdiam dan menundukkan pandangannya
ke lantai. Ustaz tahu yang Tok Gurunya berasa sedih dengan doa ini lalu dia
cuba menyebelahi Tok Gurunya: Alangkah kejamnya Tan Sri. Sedangkan dia yang
penuh kecintaan dunia dalam hatinya, diberikan doa yang tidak sepadan dengan
sahabat sendiri yang sudah bertahun-tahun merinduinya. Tok Guru hanya
mengesatkan air mata. Perlahan-lahan dia berjalan ke sebuah katil kayu di dalam
rumahnya. Tok Guru duduk di katil tersebut lalu menitiskan air mata. Dia
menangis.
Tok Guru berkata kepada anak muridnya:
Alangkah soleh sahabatku itu. Tahu saja nasihat yang sepadan denganku. Wahai
ustaz, engkau nampak teko ini?
Nampak Tok Guru. Inilah teko yang Tok
Guru gunakan untuk mereneh teh dan kopi kegemaran Tok Guru. Semasa Tok Guru
memberi ceramah kepada kami pun Tok Guru akan bawa teko ini bersama-sama,
begitu jawab anak muridnya. Lepas Tok Guru tu mendengar jawapan ustaz tadi, Tok
Guru pun mengiakan: Betul katamu. Tok Guru meletakkan teko itu ke atas ribanya
dan menyambung kata-katanya: Rumah aku using, basikal aku sudah berkarat,
baju-baju aku sudah lusuh. Tetapi teko ini…ini sajalah harta yang aku ada dan
yang paling berharga. Ia diperbuat daripada besi yang tidak mudah berkarat.
Sebab itulah keadaannya masih baik.
Ada sebab kenapa aku letakkan teko ini
di sebelah katil. Dengan meletakkannya di situ, aku senang untuk melihatnya sebelum
tidur. Senang juga untuk aku pastikan yang ia masih ada di situ selepas aku
terjaga. Aku risau teko ini hilang. Dengan bekas besi inilah aku bancuh minuman
kesukaanku. Aku rasakan ia amat penting, kerana ia satu-satunya hartaku. Tanpa
aku sedar, bekas air ini telah menguasai hatiku. Aku terlalu bimbang akan harta
aku ini terlepas daripada genggamanku.
Tok Guru meneruskan: Hati aku berbeza
dengan hati Tan Sri. Dia dikurniakan Allah dengan harta yang melimpah-ruah.
Mata orang kebiasaan akan melihat Tan Sri sebagai orang yang terikat hatinya
dengan dunia. Hanya kerana hartanya yang bertimbun, dia dianggap tidak zuhud.
Hakikatnya, tiada satu habuk pun harta kepunyaannya yang dia bimbang akan
terlepas daripada genggamannya. Aku pula…walaupun hartaku hanya sebuah teko
besi, kecintaanku terhadap teko ini lebih tinggi daripada kecintaan Tan Sri
terhadap seluruh harta-harta kepunyaannya. Selalu orang kata, kalau kulit buku
itu buruk, tidak semestinya isinya buruk juga. Tapi dalam cerita tadi berbeza.
Kalau kita tengok orang itu cantik, jangan kita sangka dalamannya tidak sama
cantik.
Orang yang ada harta berjuta-juta, tidak
semestinya tidak zuhud. Bayangkan orang kaya yang ada empat juta ringgit. Satu
perempat hartanya disedekahkan. Nilai sedekahnya sebanyak sejuta ringgit,
manakala tiga juta lagi dia gunakan untuk dirinya sendiri. Lalu orang pun
merendah-rendahkan: Alah kau…derma sejuta saja. Untuk diri sendiri tiga juta.
Walhal orang yang bercakap tu tak mampu pun nak derma seribu ringgit jika dia ada
wang empat ribu ringgit. Padahal nilainya juga satu perempat. Bahkan, lima
puluh ringgit pun belum tentu dia mampu dermakan.”
Begitulah sebahagian cerita di dalam bab
ini. Saya tertarik dengan cerita zuhud ini kerana sifat zuhud perlu ada dalam
diri setiap manusia tidak kira kaya atau miskin. Saya yakin setiap orang malah
diri sendiri pasti ada ruang di dalam hati untuk cintakan harta, tidak kira
berapa jumlah harta yang kita miliki. Terlalu cinta sehingga lupa yang semua
harta tersebut bukan milik kita sepenuhnya hatta duit syiling 10 sen. Kita nampak
orang kaya yang banyak harta seolah-olah sentiasa memikirkan dunia dan
menghabiskan masa untuk mengumpul harta tetapi kita tak nampak berapa banyak
harta yang orang kaya sudah dermakan kepada orang lain.
Kita nampak orang miskin yang mempunyai
harta yang sedikit tetapi kita tidak tahu adakah orang miskin ini mahu
sedekahkan harta yang tidak seberapa untuk orang lain. Andai kata sewaktu
miskin kita mendidik hati menjadi kedekut untuk menderma kerana takut harta
berkurang, percayalah semakin kita kaya semakin kita menjadi kedekut. Allah
sengaja mencipta perasaan tamak dalam hati manusia untuk menguji sejauh mana
kecintaan kita terhadap harta berbanding cinta kepadaNya. Sebab itu, saya
selalu berpesan kepada diri sendiri untuk sentiasa meletakkan ‘limit’ dalam apa
sahaja yang saya buat.
Belanja dengan sederhana, bekerja
mengikut masa, kerana sifat manusia apabila melakukan sesuatu berlebihan,
mereka tidak tahu dan tidak mahu untuk berhenti sekalipun sudah mempunyai
segunung wang emas. Mungkin jika ditanya apakah penyakit yang paling manusia
takuti, mereka akan menjawab kanser, sakit jantung atau strok. Tetapi mereka
lupa untuk berasa takut dengan penyakit wahn itu sendiri kerana penyakit ini
tidak mendatangkan sakit kepada tubuh badan tetapi memberi kegembiraan di dalam
hati apabila mengumpul harta sehingga lupa akan kematian. Ubat kepada penyakit
wahn ialah zuhud tetapi manusia sanggup berperang demi harta seolah-olah mereka
akan hidup kekal di dunia ini.