Saturday, May 26, 2018

Hangeul dan Melayu


Assalamualaikum wbt

       Kepada yang belum tahu, Jepun bukan sahaja pernah menjajah Tanah Melayu malah Korea juga pernah menjadi tanah jajahan Jepun suatu masa dahulu. Sehingga kini, masih ada lagi orang Korea yang sangat membenci dan menyimpan dendam kepada orang Jepun. Pada Februari 2016, saya sendiri pernah menerima mesej berunsur hasutan dari orang Korea yang memberitahu saya betapa teruknya orang Jepun dan kerajaan Jepun itu sendiri. Saya mengambil keputusan untuk mengendahkan mesej tersebut kerana tidak mahu terlibat dengan perkara yang tidak diingini. Sebagai seorang yang meminati muzik K-Pop dan menonton K-Drama serta rancangan Running Man, saya mula berminat untuk mempelajari tulisan Hangeul iaitu tulisan Bahasa Korea.

       Siapa yang mengasaskan tulisan Hangeul? Pada abad ke-15, Maharaja Sejong (King Sejong the Great) iaitu maharaja yang keempat dalam Dinasti Joseon mengusulkan untuk mencipta satu tulisan khas untuk Bahasa Korea pada tahun 1446 bagi meningkatkan kadar bilangan penduduk yang mampu membaca dan menulis. Hal ini kerana pada zaman itu, rakyat Korea menghadapi kesukaran dalam menggunakan tulisan Cina (kanji) untuk bacaan dan tulisan. Apa yang menarik mengenai tulisan Hangeul ini, 14 huruf konsonan dalam tulisan Hangeul mewakili bagaimana mulut terbentuk ketika menyebut huruf konsonan ini. Maharaja Sejong dikenali sebagai pengasas kepada tulisan Hangeul tetapi Ju Si Gyeong yang merupakan rakyat Korea berjuang untuk melindungi tulisan ini daripada terus terhapus sewaktu penjajahan Jepun.

Gambar 1: Bentuk Mulut Ketika Menyebut Huruf Hangeul

       Ju Si Gyeong (1876-1914) ialah seorang ahli sasterawan pada awal abad ke-20 dan salah seorang pengasas linguistik Korea moden. Selepas mempelajari linguistik moden di Seoul, beliau menubuhkan Persatuan Sistem Bahasa Korea (Korean Language System Society) pada tahun 1896. Beliau bekerja keras dalam usaha untuk meningkatkan penerimaan sistem penulisan Korea yang selama ini dipandang rendah oleh golongan elit yang mendapat pendidikan melalui sistem penulisan Cina. Malah, nama Hangeul (한글) dicipta oleh beliau antara tahun 1910 dan 1913 untuk mengenal pasti sistem penulisan Korea yang telah wujud dengan beberapa nama lain seperti onmun (skrip vernakular) sejak abad ke-15.

Gambar 2: Ju Si Gyeong

       Ju Si Gyeong sentiasa membawa buku-buku besar tulisan Hangeul yang ditulisnya sendiri untuk mengajar Bahasa Korea di mana sahaja dia pergi.

“Encik Ju adalah seorang guru dan pendidik yang berbakat. Saya belajar subjek Geologi dan Sejarah dari beliau. Kelas kami gelap dan sangat sesak, sepatutnya pelajar akan tertidur sewaktu pembelajaran berlaku. Tetapi kelas Encik Ju sangat menarik sehingga tiada pelajar yang pernah tertidur dalam kelasnya.”

Ini merupakan petikan daripada memoir yang ditulis oleh salah seorang anak murid Ju Si Gyeong. Ada yang mengatakan beliau tidak mempunyai masa untuk mengelap peluh di dahinya kerana sibuk bertemu dan mengajar para pelajarnya. Beliau berjalan di seluruh Jeong-deong, Namdaemun dan Jongno serta pergi dari satu sekolah ke sekolah yang lain. Ju Si Gyeong terpaksa mengajar di 16 buah sekolah di seluruh Seoul selama 40 jam seminggu untuk menampung kekurangan guru ketika itu. Beliau hidup dalam serba kemiskinan kerana beliau hanya meminta gaji yang sedikit setiap kali mengajar. Lima orang anaknya tinggal di sebuah rumah yang kecil, dipenuhi buku-buku dari dinding ke dinding. Pada tahun 1914, pendidik yang berjiwa besar ini meninggal dunia di rumahnya pada usia yang muda 39 tahun.

       Pada tahun 1930, rakyat Korea sangat menderita di bawah penjajahan Jepun. Pada masa itu, Persatuan Bahasa Korea (Korean Language Society) telah menerima pelbagai pucuk surat dari seluruh negara.

“Seperti yang awak dapat lihat, saya telah menyenaraikan dialek tempatan untuk awak. Jika ini dapat membantu awak untuk menyusun Kamus Bahasa Joseon (Joseon Language Dictionary), saya sentiasa bersedia untuk membantu.”

Petikan di atas adalah salah satu surat dari sukarelawan di Gilju yang mengambil bahagian dalam Operasi Malmoi (Malmoi Operation). Bercakap dan menulis dalam Bahasa Korea dilarang sama sekali di bawah penjajahan Jepun. Persatuan Bahasa Korea yang kemudian dikenali sebagai Persatuan Bahasa Joseon (Joseon Language Society) telah menyusun kamus Bahasa Korea secara rahsia. Operasi Malmoi melibatkan penyusunan perkataan-perkataan Korea yang dikumpulkan oleh orang-orang Korea dari seluruh negara. Akhirnya, setelah 13 tahun, manuskrip yang dikenali sebagai ‘The Great Dictionary’ atau ‘Daesajeon’ diterbitkan di Korea pada tahun 1957. Persatuan Bahasa Korea mewujudkan Hari Hangeul (Hangeul Day) yang diraikan pada 9 Oktober setiap tahun.
……………..

       19 tahun selepas kelahiran Ju Si Gyeong di Korea, lahir pula seorang cendekiawan Melayu berketurunan Minangkabau di Tanah Melayu, Zainal Abidin Ahmad juga dikenali sebagai Za’ba pada tahun 1895. Beliau diajar untuk mengaji al-Quran dan membaca sejak umur lima tahun di rumahnya sendiri. Beliau merupakan orang Melayu pertama menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan lulus peperiksaan pada tahun 1915. Za’ba memiliki bakat dalam bidang penulisan dan hasil penulisannya sering muncul dalam akhbar seperti Utusan Melayu dan Lembaga Melayu. Semasa era pendudukan Jepun di Tanah Melayu, beliau diberi tanggungjawab untuk menulis buku yang boleh digunakan di Tanah Melayu ketika itu dan juga Sumatera.

       Za’ba pernah dilantik menjadi Setiausaha Agung UMNO yang pertama namun jawatan tersebut tidak kekal lama kerana beliau lebih berminat dalam bidang penulisan dan Bahasa Melayu. Za’ba merupakan anak Melayu yang tidak pernah jemu mengabdikan dirinya dalam bidang Bahasa dan persuratan Melayu. Pelita Bahasa Melayu dan Ilmu Mengarang Melayu merupakan karya beliau yang terkenal dan telah dijadikan buku teks sekolah sehingga selepas Perang Dunia Kedua. Beliau juga turut menulis dalam Journal of Malayan Branch Royal Asiatic Society (JAMBRAS) dalam usaha beliau untuk memperkenalkan Bahasa Melayu kepada orang asing.

       Za’ba seorang yang terlalu cermat dan teliti terutamanya yang berkaitan dengan Bahasa. Menurut teman-teman rapatnya, kebanyakan surat-surat yang dikirimkan kepadanya selalu dikembalikan dengan pembetulan-pembetulan yang dibuatnya di dalam surat tersebut. Beliau turut menghasilkan Sistem Ejaan Baru Bahasa Melayu yang disebut sebagai Sistem Ejaan Za’ba. Beliau telah bertindak menggubal sistem ejaan pada tahun 1933 dan menggantikan sistem ejaan oleh R.J. Wilkinson yang telah digunakan dari tahun 1914. Za’ba telah memperkenalkan kaedah ejaan Jawi pada tahun 1929 dan menerbitkan pula Rahsia Ejaan Jawi pada tahun 1931.

       Pada tahun 1956, beliau secara rasmi dianugerahkan gelaran ‘Pendeta’ dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di Johor Bahru. Semangat beliau yang tinggi untuk meletakkan Bahasa Melayu di persada dunia tanpa mengharap apa-apa balasan pernah mebuatkan beliau menolak bintang kebesaran dari negara Brunei Darussalam. Pada 23 Jun 1973, Za’ba dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pesuratan sebagai lambang perjuangan bahasa dan persuratan Melayu. Malangnya Za’ba tidak dapat hadir untuk menerima ijazah tersebut kerana uzur. Pendeta Za’ba meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 ketika berusia 78 tahun.

Gambar3: Pendeta Za'ba
……………..

       Di bawah penjajahan yang sama walau berbeza negara dan agama, kedua-dua tokoh ini memainkan peranan yang amat penting dalam memartabatkan bahasa iaitu elemen yang perlu dijaga dan dilindungi dalam memastikan sesuatu bangsa untuk terus wujud dan hidup. Bahasa mungkin kedengaran biasa tetapi sudah berapa ramai bangsa yang hilang identiti apabila bahasa yang diwarisi nenek moyang terhapus dalam penggunaan seharian. Kedua-dua tokoh ini bukan dalam kalangan kerabat diraja tetapi rakyat biasa yang ingin melihat anak cucu mereka terus hidup dengan bahasa yang sama yang pernah mereka dan nenek moyang dahulu kala tuturkan.

Kita sudah merdeka dari penjajah sejak tahun 1957.

Adakah bahasa kita juga merdeka?

No comments:

Post a Comment

My Grandmother’s Wish

        After my mother, the next strong woman that I know closely in my life is my grandmother and I call her as ‘Tok’. I still remember ...