Assalamualaikum wbt.
- Pada 3 September 2018, bertempat di Balai Polis Taiping, seorang perempuan berbangsa Melayu berumur 16 tahun telah membuat laporan polis mendakwa dirinya dirogol oleh teman lelakinya serta dua orang lelaki dipercayai rakan kepada teman lelakinya itu. Kejadian tersebut berlaku pada 17 Ogos 2018, mangsa telah dibawa oleh teman lelakinya ke sebuah hotel di Taiping pada jam 4:30 pagi. Selepas itu, mangsa telah tidur dan tidak sedar apa yang berlaku sehingga mangsa terjaga pada pukul 11:00 pagi dan mendapati lehernya terdapat kesan lebam serta kemaluannya terasa sakit.
- Pada 13 September 2018, seorang pekerja hotel di Johor Bahru telah menghubungi polis selepas melihat seorang lelaki dewasa mendaftar masuk ke hotel itu bersama seorang kanak-kanak perempuan, membongkar aktiviti sumbang mahram dilakukan lelaki terbabit. Pekerja terbabit bertindak menghubungi pihak polis kerana melihat lelaki berkenaan yang mencurigakan. Sebaik polis tiba, polis mengetuk pintu bilik dan apabila dibuka, didapati seorang lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaan hanya memakai tuala. Selepas membuat pemeriksaan, lelaki tersebut berusia 48 tahun dan kanak-kanak terbabit dalam lingkungan usia 10 tahun. Lelaki tersebut merupakan bapa saudara kepada kanak-kanak tersebut dan memberitahu pihak polis, mangsa telah mendapat kebenaran ibu bapanya untuk mengikut lelaki terbabit.
Melihat kepada dua kes di atas, terdapat
satu persamaan yang amat ketara, kedua-dua mangsa ialah gadis bawah umur.
Secara umumnya di Malaysia, definisi kanak-kanak adalah dibawah umur 18 tahun
mengikut Akta Kanak-Kanak yang diluluskan pada tahun 2001. Sekalipun
kanak-kanak tersebut mungkin kelihatan atau mampu untuk berfikir dan bercakap
dengan matang seperti orang dewasa, mereka masih memerlukan bimbingan dan
pengawasan penuh oleh orang dewasa yang terdekat terutamanya ibu bapa.
Persoalan disini, adakan tanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak ini jatuh
secara mutlak kepada ibu bapa dan ahli keluarga sahaja?
Sekiranya kita lihat pada kes yang
pertama melibatkan gadis bawah umur yang dirogol oleh teman lelakinya dan dua
lelaki yang lain, gadis ini telah berhenti sekolah dua bulan sebelum kejadian
berlaku dan gambar bogel serta video lucahnya pernah tersebar sebelum ini.
Mangsa membuat laporan polis apabila video lucah yang memaparkan mangsa dirogol
telah disebarkan oleh suspek-suspek yang merogolnya ke media sosial seperti
WhatsApp dan Tumblr. Apabila kes ini viral, ramai pihak menunding jari kepada
ibu bapa gadis tersebut kerana tidak memantau pergaulan bebas anaknya dan
terlalu mengikut semua kehendak anak.
Hal ini membuatkan saya terfikir,
andainya ibu bapa sudah tidak lagi mahu atau mampu membimbing anak-anaknya yang
semakin liar, siapa lagi yang akan mengambil tanggungjawab tersebut? Cuba kita
bayangkan kita berada sewaktu kejadian rogol itu berlaku. Sebagai contoh, kita
letakkan diri kita sebagai salah seorang pekerja hotel yang bertanggungjawab
untuk menguruskan daftar masuk dan menyerahkan kunci bilik kepada mangsa dan
teman lelaki. Kita lihat pasangan ini kelihatan terlalu muda dan mungkin masih
belum berkahwin. Mereka juga menempah satu bilik sahaja untuk mereka menginap.
Memandangkan mereka ini pelanggan, kita mungkin berasa malu untuk bertanya
terus kepada meraka adakah mereka sudah berkahwin atau belum bukan? Jadi kita
pendam perasaan curiga itu dan tanpa kita sedar, kita telah meletakkan gadis
tersebut ke dalam situasi yang boleh mencabul maruahnya.
Cuba kita bayangkan kalau kita ialah
pekerja hotel untuk kes yang kedua pula. Kali ini, kita tidak melaporkan kepada
pihak polis kerana kita lihat pelanggan yang mendaftar masuk ke bilik itu
seperti bapa dan anak. Perkara yang sama mungkin akan berlaku seperti kes yang
pertama walaupun suspek dan mangsa mempunyai perasaaan antara satu sama lain.
Berdasarkan Seksyen 375 Kanun Keseksaan rogol berlaku apabila seorang lelaki
mengadakan hubungan seks dengan seorang perempuan di bawah keadaan berikut:
a.
Tanpa persetujuannya.
b.
Tanpa kebenarannya.
c.
Dengan persetujuan tetapi diberikan kerana wanita itu takut akan keselamatannya
atau kerana salah tafsiran dan lelaki itu tahu persetujuan diberi secara
demikian.
d.
Dengan persetujuannya kerana wanita itu percaya bahawa lelaki itu suaminya dan
lelaki itu tahu dia bukan suami yang sah.
e.
Dengan atau tanpa persetujuan wanita bawah umur 16 tahun.
Ini
bermakna pada perenggan ‘e’, mengadakan hubungan seks dengan gadis di bawah
umur 16 tahun adalah satu kesalahan rogol dan boleh dikenakan hukuman penjara
sehingga 20 tahun dan sebatan.
Saya tidak menafikan ibu bapa
sememangnya penting untuk memantau kegiatan anak-anak terutamanya yang bawah
umur. Tetapi, abang, kakak, makcik, pakcik, jiran sebelah rumah, pekerja hotel,
peniaga warung di tepi jalan serta sesiapa sahaja yang bergelar manusia dan
hidup dalam sesuatu masyarakat juga perlu memantau kegiatan anak-anak muda di
sekeliling. Saya sebagai anak sulung dan kakak kepada seorang adik perempuan
dan dua orang adik lelaki, mengambil tanggungjawab untuk memantau aktiviti
adik-adik saya di media sosial. Hal ini kerana kedua ibu bapa saya hanya aktif
di Facebook dan WhatsApp sahaja sedangkan remaja sekarang mempunya
sekurang-kurangnya lebih dari dua akaun media social seperti Instagram,
Twitter, LINE, Skype dan Tumblr.
Saya percaya setiap orang memainkan
peranan penting untuk menjaga keselamatan masyarakat terutamanya golongan yang
memerlukan bimbingan dan pengawasan orang dewasa iaitu kanak-kanak bawah umur.
Tanpa mengira pekerjaan gaji tinggi atau rendah, bangsa Melayu atau India,
kenal atau tidak, salah satu cara untuk mengurangkan kadar jenayah dan membantu
pihak polis menyelesaikan kes jenayah adalah datang dari keprihatinan diri
sendiri dengan menjalankan tanggungjawab secara serius tanpa menunding jari
kepada orang lain. Malaysia baru bukan bermula apabila menukar kerajaan baru,
tetapi apabila masyarakat mengubah mentaliti lama kepada mentaliti untuk
mewujudkan masyarakat yang selamat dan bersatu.
No comments:
Post a Comment