Assalamualaikum w.b.t
Pada hari terakhir saya bekerja sebelum bermulanya
cuti akhir tahun, senior saya di tempat kerja menceritakan tentang budaya makan
soba pada waktu petang atau lewat malam 31 Disember sebelum masuknya tahun
baru. Tradisi memakan soba ini dipanggil 年越しそば(baca:
Toshikoshi Soba) yang membawa maksud dalam bahasa Inggeris ‘Year-End Noodles’.
Senior saya beritahu salah satu sebab kenapa orang Jepun mengamalkan tradisi
memakan soba ini kerana bentuk soba yang panjang dan nipis melambangkan umur
yang panjang. Jadi, memakan soba ini dikatakan membawa harapan untuk menjalani
kehidupan yang lebih lama.
Gambar 1: Soba
Satu
lagi makanan dalam tradisi menyambut tahun baru di Jepun ialah おせち料理(baca: Osechi Ryouri). Osechi Ryouri ialah hidangan
berwarna-warni yang disusun didalam bekas makanan khas yang dipanggil 重箱(baca: juubako). Mengikut tradisi orang
Jepun, Hari Tahun Baru ialah hari untuk semua orang berehat jadi tiada apa yang
perlu dimasak pada hari tersebut. Kebiasaannya Osechi Ryouri akan disediakan
sebelum malam menyambut Tahun Baru. Malah, kebanyakan pasar raya di Jepun juga ada
menjual Osechi Ryouri memandangkan kesibukan bekerja menyukarkan orang Jepun untuk
menyediakan hidangan ini di rumah kerana memerlukan masa yang lama dan bahan
yang banyak. Setiap hidangan yang disediakan dalam Osechi Ryouri mempunyai
maksud yang tersendiri dan berkait rapat dengan harapan dalam Tahun Baru. Antara
makanan tersebut ialah:
Gambar 2: Osechi Ryouri
- 海老(baca:
ebi, maksud: udang)
Oleh kerana bentuk
fizikal udang yang melengkung (seperti orang tua yang membongkok), udang
menjadi simbol panjang umur bagi orang Jepun dan dimakan semasa Tahun Baru.
Senior saya pesan untuk banyakkan makan udang pada tahun baru haha.
- 栗金団(baca:
kuri kinton)
Kuri kinton ialah
sejenis pencuci mulut tradisional yang diperbuat daripada ubi keledek dan buah
berangan. 金団(baca: kinton) yang membawa
maksud dalam bahasa Inggeris sebagai ‘gold dumplings’ atau ‘golden futon’ merupakan
pencuci mulut berwarna emas yang melambangkan kekayaan dalam perniagaan dan
kemakmuran dalam kehidupan.
Gambar 4: Kuri Kinton
- 黒豆(baca:
kuromame, maksud: kacang soya hitam)
Kacang soya hitam pula melambangkan kesihatan
tubuh badan yang baik supaya dapat bekerja sepanjang tahun. まめ(baca: mame) ialah perkataan yang asalnya membawa maksud
sihat dan tahan lama. まめjuga digunakan dalam peribahasa
bahasa Jepun seperti まめに働く(baca: mame ni hataraku)
yang membawa maksud bekerja keras, bekerja bersungguh-sungguh.
Gambar 5: Kacang Soya Hitam
Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya tinggal
di Jepun, tradisi orang Jepun sememangnya berkait rapat dengan alam semula jadi
seperti sakura atau gunung Fuji, begitu juga dengan makanan seharian mereka.
Bagi mereka, setiap bentuk fizikal atau proses sesuatu kejadian itu mempunyai
maksud yang boleh diterapkan dalam kehidupan seharian. Malah menurut Islam,
kita juga disuruh untuk sentiasa memerhati serta memikirkan setiap makhluk
ciptaan Allah supaya kita sedar dan yakin bahawa hanya Allah sahaja yang mampu
mencipta alam ini. Inilah perbezaan kaca mata orang Jepun dan kaca mata orang
Islam terhadap alam sekeliling.
Pada pendapat saya tidak salah untuk
mengamalkan tradisi memakan soba atau Osechi Ryouri (yang halal) pada Tahun
Baru seperti orang Jepun. Tetapi makanlah sebagai tanda bersyukur atas rezeki
yang diberikan oleh Allah kerana berpeluang untuk menyambut satu lagi tahun yang
baru. Kemudian, berdoa supaya dipanjangkan umur serta dilimpahkan rezeki kepada
Allah bukan kepada makhluk. Dengan berbaki masa beberapa hari sebelum masuknya
Tahun Baru, jangan lupa untuk banyakkan muhasabah diri pada tahun ini dan
letakkan azam baru pada tahun yang seterusnya. Semoga tahun 2018 menjadi tahun
yang penuh makna dan tahun 2019 menjadi tahun yang lebih sempurna.
No comments:
Post a Comment