Friday, January 25, 2019

Program Harmony


Assalamualaikum w.b.t.

       Selepas saya menamatkan pengajian di Jepun, saya kini mula bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat pembekal tenaga elektrik di bahagan Kanto, Jepun. Syarikat ini boleh diumpamakan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Malaysia. Di syarikat ini, saya beserta jurutera lain bertanggungjawab dalam bahagian keselamatan reaktor nuklear. Di Malaysia, kita tidak mempunyai reaktor nuklear untuk menjana elektrik, jadi bagi saya, peluang untuk bekerja dalam bidang tenaga nuklear ini merupakan peluang yang mungkin saya tidak akan dapat rasai di Malaysia dan sememangnya benda yang sangat baru bagi saya.

 Gambar 1: Reaktor Nuklear di Fukushima

       Jadi, apa kaitan Program Harmony dengan tenaga nuklear? Mungkin ada yang tahu atau belum tahu tentang satu-satunya organisasi global dalam bidang tenaga nuklear iaitu World Nuclear Association (WNA). Program Harmony ialah visi utama WNA untuk penjanaan elektrik pada masa hadapan. Memandangkan sekarang di bumi tempat kita tinggal ini menghadapi pelbagai krisis seperti pemanasan global, bencana alam yang tidak stabil serta pencemaran yang berleluasa, WNA cuba untuk mempromosikan penjanaan elektrik yang lebih bersih atau dengan erti kata lain, proses penjanaan elektrik yang tidak menyumbang kepada pencemaran alam.

Gambar 2: World Nuclear Association 

       Buat masa ini, tenaga nuklear menjadi kunci utama kepada penjanaan elektrik pada masa hadapan. Sekiranya Program Harmony ini berjaya, dijangka kapasiti tenaga nuklear akan meningkat 3 kali ganda di seluruh dunia menjelang tahun 2050. Di dalam rangka kerja Program Harmony, WNA akan membantu mana-mana negara yang sedang membangunkan industri tenaga nuklear dengan cara menyelesaikan masalah-masalah seperti masalah kewangan yang boleh menghalang pertumbuhan industri nuklear di negara tersebut. Menjelang tahun 2050, dijangkakan 25% tenaga elektrik di seluruh dunia dijana oleh tenaga elektrik dengan kapasiti sebanyak 1000[GW].

       Kenapa WNA mewujudkan Program Harmony ini? Dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat di seluruh dunia, penggunaan tenaga elektrik akan semakin meningkat tetapi pada masa yang sama kita juga menginginkan kehidupan yang bersih dari pencemaran udara. Oleh kerana tenaga nuklear tidak menyumbang kepada pencemaran udara serta bersih dari pelepasan gas karbon dioksida, WNA berusaha untuk mempromosikan tenaga nuklear sebagai salah satu cara untuk menyelesaikan masalah perubahan iklim dunia. Kebiasaannya, industri nuklear ini dipelopori oleh negara-negara maju sahaja tetapi sekarang negara-negara yang sedang membangun juga sedang membina reaktor nuklear dengan bantuan dan bimbingan dari pihak WNA.

       Pada tahun 2017, WNA telah mencapai banyak kejayaan dalam peningkatan reaktor nuklear di negara-negara sedang membangun. Sebagai contoh, pada November 2017, pembinaan reaktor nuklear yang pertama di Bangladesh sudah bermula di kawasan yang bernama Rooppur. Kemudian diikuti pada bulan Disember apabila Turki juga sudah mula menyiapkan pelan untuk membina reaktor nuklear yang pertama di Akkuyu. Pada bulan yang sama, Mesir dan Rusia menandatangani perjanjian untuk membina reaktor nuklear yang pertama di Afrika Utara. Pada Oktober 2018, Program Harmony telah diiktiraf secara rasmi oleh International Atomic Energy Agency di Abu Dhabi.

       Sudah tentu, dalam usaha untuk meningkatkan tenaga nuklear pada masa hadapan, sememangnya terdapat cabaran dan halangan daripada masyarakat mengenai aspek keselamatan apabila berlakunya kemalangan di reaktor nuklear dan pelepasan radiasi. Jadi, dalam salah satu objektif Program Harmony ialah mewujudkan paradigma keselamatan yang efektif dengan memberi tumpuan kepada kesejahteraan orang awam, di mana kepentingan dalam aspek kesihatan, alam sekitar dan keselamatan nuklear adalah lebih baik apabila dibandingkan dengan sumber tenaga lain. Secara realitinya, kemalangan berlaku di mana-mana.

       Sekiranya dibandingkan sejarah kematian akibat kemalangan di reaktor nuklear dengan loji janakuasa yang lain, terdapat kajian yang menujukkan dari Paul Scherrer Institute antara tahun 1970 hingga 1992, hanya terdapat 39  kes kematian pekerja reaktor nuklear di seluruh dunia, manakala dalam tempoh yang sama, terdapat 6,400 kes kematian pekerja di loji janakuasa arang batu, 1,200 kes kematian pekerja loji tenaga gas asli dan orang awam yang disebabkan oleh loji janakuasa gas asli, serta 4,000 kes kematian orang awam yang disebabkan oleh loji janakuasa hidroelektrik. Dari statistik ini mungkin sudah cukup untuk meyakinkan orang awam mengenai keselamatan reaktor nuklear itu sendiri.

       InsyaAllah, selepas ini saya berniat untuk menulis lebih banyak lagi tentang reaktor nuklear serta sistem-sistem yang ada dalam reaktor itu sendiri. Secara jujurnya, saya bukanlah seorang yang professional memandangkan saya masih lagi baru dalam industri ini. Tetapi saya akan cuba untuk berkongsi sebanyak mungkin ilmu serta pengalaman yang ada.

No comments:

Post a Comment

My Grandmother’s Wish

        After my mother, the next strong woman that I know closely in my life is my grandmother and I call her as ‘Tok’. I still remember ...