Thursday, December 28, 2017

Maryam: Wanita biasa tetapi luar biasa

Assalamualaikum wbt

                Sebenarnya, saya dah lama sangat nak tulis mengenai kisah Maryam, ibu kepada Nabi Isa AS. Saya rasa hampir semua orang terutama sekali Muslim mengenali wanita solehah ini. Sebelum ini, secara jujurnya saya hanya menganggap Maryam ini sekadar wanita solehah yang terpilih untuk hamil tanpa nikah atau erti kata lain tanpa bersentuhan dengan lelaki. Bayi dalam kandungannya juga merupakan hamba Allah yang terpilih untuk menjadi seorang Nabi iaitu Nabi Isa AS dan namanya disebut dan diingati oleh Muslim serta penganut agama Kristian dengan nama Jesus. Saya tidak ada perasaan ingin tahu kisah disebalik kehamilan tersebut dan pengajaran yang perlu diambil dari kisah hidup Maryam sehinggalah saya membaca buku ‘Akhawat Pakai Hoodies’ oleh Inche Gabbana.

                Keterujaan saya untuk mengetahui kisah Maryam dengan lebih mendalam semakin bertambah apabila Naqibah saya menghuraikan kisah Maryam berdasarkan ayat-ayat dalam al-Quran iaitu Surah Maryam, ayat 23-25.

”Kemudian rasa sakit akan melahirkan memaksanya (bersandar) pada pangkal pohon kurma, dia (Maryam) berkata, “Wahai betapa (baiknya) aku mati sebelum ini, dan aku menjadi seorang yang tidak diperhatikan dan dilupakan.” Maka dia (Jibril) berseru kepadanya dari tempat yang rendah, “Janganlah engkau bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu. Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, niscaya (pohon) itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu.”

                Dalam ayat 23, Allah SWT menceritakan semula kata-kata yang diungkap Maryam ketika bersendirian menanggung kesakitan untuk bersalin pada pangkal pohon kurma. “Wahai betapa (baiknya) aku mati sebelum ini, dan aku menjadi seorang yang tidak diperhatikan dan dilupakan.” Cuba bayangkan sekiranya kita berada di tempat Maryam. Maryam ialah seorang wanita yang rajin beribadah dan menjaga kehormatan diri dari tatapan lelaki ajnabi. Apabila Allah SWT menguji Maryam dengan kehamilan walaupun tidak pernah disentuh oleh mana-mana lelaki, Maryam tahu kelak apabila bayi tersebut lahir, mereka akan dicemuh oleh masyarakat sekeliling dan Maryam akan digelar sebagai penzina. Kata-kata yang diungkapkan oleh Maryam di dalam al-Quran menunjukkan perasaannya yang sudah berputus-asa untuk terus hidup dan berharap masyarakat sekeliling tidak menyedari akan kewujudan dirinya.

                Kemudian Allah SWT memujuk Maryam melalui perantaraan malaikat Jibril dengan menyuruh Maryam menggoncangkan pangkal pohon kurma sehingga menggugurkan buah kurma yang masak untuk dimakan. This is my favorite part. Allah SWT sangat sayangkan Maryam tetapi Allah tidak memberikan bantuan kepada Maryam turun terus dari langit. Sebaliknya, Allah SWT memujuk Maryam untuk menggunakan saki-baki tenaga yang ada setelah penat melahirkan bayi dan berusaha menggoncangkan pokok kurma sehingga gugur buah kurma yang masak. Allah SWT berkuasa untuk menjatuhkan terus buah kurma tersebut tetapi Allah mahu Maryam berusaha sebab Allah sangat suka hambaNya yang berusaha.

                Cuba bayangkan keadaan Maryam ketika itu. Berseorangan, kesakitan, penat melahirkan bayi, Maryam turut berharap untuk mati seperti yang diungkapkan dalam ayat 23. Tetapi Allah SWT ingin mengajar kepada Maryam dan kepada kita semua betapa nyawa itu anugerah yang sangat berharga.

                Sebagai seorang Muslim, kita diajar bahawa Allah SWT tidak akan menguji hambaNya diluar kemampuan hamba tersebut. Oleh sebab itu, Allah SWT menggalakkan hamba-hambaNya untuk bersabar dan berusaha menghadapi ujian yang diberikan. Apabila masalah tersebut berlarutan untuk jangka masa yang lama atau menjadi bertambah teruk, sampai ke satu tahap kita berdoa supaya kita tidak lagi hidup atas dunia ini sebab terlampau penat dan mungkin lebih teruk lagi kita cuba untuk membunuh diri sendiri. Naudzubillah. Saya berdoa semoga semua orang yang membaca penulisan ini dan orang-orang yang saya sayangi diberikan kesabaran yang tinggi oleh Allah SWT untuk menghadapi ujian dalam hidup.

Dari Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah salah seorang kamu menginginkan kematian disebabkan dia tertimpa bencana. Andaipun ia tetap berkeinginan maka hendaklah ia mengucapkan: Ya Allah, hidupkanlah aku andai kehidupan itu baik bagiku dan matikanlah aku jika kematian itu lebih baik bagi ku.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

                Daripada kisah Maryam, kita tahu betapa Maryam seorang yang sangat penyabar bermula pada saat malaikat Jibril menyampaikan berita kepadanya akan kelahiran seorang bayi lelaki dari rahimnya sendiri. Setiap manusia ada batas kesabarannya dan Maryam sendiri hampir hilang kesabarannya pada saat hendak melahirkan bayi tersebut bersendirian. Di sini, kita dapat belajar maksud sabar. Sabar bukan bermaksud mendiamkan diri dan terima apa sahaja yang berlaku dalam hidup. Sabar bererti terima ketentuan Ilahi dan berusaha untuk menyelesaikan masalah serta memperbaiki kehidupan yang sedia ada.

                Oleh sebab itu, di saat Maryam dalam keadaan putus asa, Allah memujuk untuk berusaha mendapatkan buah kurma dengan menggoncangkan pokok kurma yang disandarnya walaupun dalam keadaan penat dan sakit setelah melahirkan Nabi Isa AS. Allah SWT sangat menghargai usaha Maryam untuk meneruskan hidup walaupun akan diuji dengan cemuhan dari masyarakat sekeliling. Konsep usaha ini membuatkan saya teringat akan hadis biji benih.

Rasulullah SAW bersabda, “Sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

                Daripada hadis di atas, apa yang dapat saya pelajari ialah dalam kehidupan kita, Allah SWT sentiasa mengukur sejauh mana usaha kita untuk meneruskan hidup dan hasil dari segala usaha yang kita lakukan hanyalah daripada Allah SWT. Daripada hadis ini, kita tahu yang kita tidak akan dapat menuai hasil dari menanam biji benih kurma tersebut pada keesokan harinya kerana hari kiamat dan mungkin kita akan merasa sia-sia menanam biji benih kurma tersebut. Oleh sebab itu, dalam setiap usaha yang kita lakukan, kita letakkan sepenuh kepercayaan kita kepada Allah SWT dan hanya mengharapkan hasil yang baik daripadaNya.


                Akhir sekali, sebelum saya mula masak untuk makan tengah hari, lakukan yang terbaik setiap saat, setiap minit, setiap jam sekalipun kita tahu masa yang diambil untuk mendapatkan apa yang kita hajati mengambil masa yang lama atau mungkin langsung tiada apa-apa hasil dari usaha yang kita buat. Allah SWT memandang setiap langkah usaha kita dengan pandangan yang serius dan serahkan hasil, keputusan kepadaNya. That’s why He is God.

No comments:

Post a Comment

My Grandmother’s Wish

        After my mother, the next strong woman that I know closely in my life is my grandmother and I call her as ‘Tok’. I still remember ...