Thursday, December 14, 2017

Flaw

Assalamualaikum wbt

Amal sebenarnya tak jumpa perkataan Melayu yang sesuai dan sedap untuk menggambarkan kekurangan seseorang. Jadi Amal pilih perkataan ‘Flaw’ walaupun tulisan kali ini Amal akan cuba tulis 100% dalam Bahasa Melayu. Tiada bahasa rojak yang digunakan. Selalu kita dengar ayat “muka flawless” yang bermaksud tiada kecacatan dan kekurangan pada muka yang selalu diungkapkan oleh kebanyakan golongan wanita. Untuk penulisan kali ini, Amal nak cerita mengenai 2 orang sahabat dan cerita ini berdasarkan kisah benar tapi Amal akan ubah sedikit untuk menjaga aib watak sebenar dan mencantikkan lagi cerita ini.

2 orang sahabat diberi nama Samad dan Said, tinggal di sebuah kampung di utara tanah air dan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Samad sudah berkahwin, seorang yang rajin bekerja dan sangat bertanggungjawab. Oleh sebab Samad penat bekerja mencari rezeki, dia tidak ada masa untuk berpakaian segak seperti lelaki lain tapi sangat dikenali dalam kalangan penduduk kampung kerana rajin bersedekah dan menghadiri ceramah di masjid. Said pula belum berkahwin, lebih muda dari Samad dan sentiasa berpakaian segak. Senang cerita ramai wanita di kampung yang tergila-gilakan Said. Said tahu yang ramai wanita sukakan dia jadi dia mengambil kesempatan dengan menggoda wanita-wanita tersebut dan mengikis duit mereka. Biasa dengar perempuan yang kaki kikis kan, untuk cerita ini lelaki yang mengikis duit perempuan. Tak cukup duit belanja dari wanita-wanita tersebut, Said turut ‘bekerja’ dengan merompak kedai-kedai dalam kampung itu dan terlibat dalam kumpulan kongsi gelap. Ramai penduduk kampung yang tidak sukakan Said dan cerita mengenai Said juga tersebar ke kampung-kampung lain yang berdekatan. Tetapi, walaupun Said ada banyak ‘flaw’ dari segi peribadinya, Samad menerima Said sebagai sahabat baik dari kecil dan sering bersama Said dalam susah dan senang.

Bagi Samad, Said sebenarnya banyak membantu Samad ketika Samad dalam kesusahan terutama dari segi kewangan. Walaupun Samad tahu, duit itu bukan dari sumber yang halal tapi dia tetap mengambil duit itu kerana terdesak dan tak pernah berhenti menasihati Said untuk berubah. Bagi Said, walaupun dia sering dikelilingi orang-orang yang jahat, jauh di sudut hati dia masih mahu berubah menjadi orang baik seperti Samad. Dia menganggap Samad sebagai abang kandung sendiri dan contoh untuk berhijrah menjadi lebih baik. Said nampak cahaya dan jalan untuk berubah apabila bersahabat dengan Samad. Suatu hari, nasib tidak menyebelahi Said apabila polis berjaya menangkap Said dan konco-konconya kerana jenayah merompak kedai-kedai dalam kampung tersebut. Said dijatuhkan hukuman penjara selama beberapa tahun dan Samad satu-satunya sahabat yang sentiasa melawat Said di penjara.

Apabila Said keluar dari penjara, dia tiada tempat untuk dituju dan terus ke rumah Samad. Pada waktu itu, Samad sudah berjaya menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya dan menawarkan pekerjaan kepada Said. Tidak lama kemudian, sekali lagi Said buat hal dan dijatuhkan hukuman penjara untuk jenayah yang lain pula. Samad tidak pernah terfikir untuk menjauhkan diri, jauh sekali memutuskan hubungan persahabatan dengan Said. Samad melawat Said di penjara dan sentiasa memberi nasihat serta semangat kepada Said untuk berubah. Apabila Said keluar dari penjara untuk kali kedua, Said sudah berumur dan tiada orang di kampung yang ingin mengambilnya bekerja ditambah dengan status bekas banduan. Pada suatu hari, Said mahu meminjam duit Samad untuk membeli makanan tapi kata Samad, “Tak payah pinjam. Kau mana ada duit nak bayar balik. Kalau takda duit, datang jumpa aku. Aku bagi duit belanja kat kau.” Said rasa sebak dan nekad untuk betul-betul berubah.

Kalau dahulu tak pernah solat cukup 5 waktu dalam sehari, Said belajar untuk solat dengan betul memandangkan dia sudah semakin lupa bacaan dalam solat. Said juga tidak memilih pekerjaan, dia lakukan apa sahaja kerja yang ada di kampung asalkan halal. Dia bekerja di kebun buah, di bendang malah berniaga kecil-kecilan di pasar malam kampung tersebut. Said tidak berkahwin dan tidak mempunyai anak. Tiada perempuan di kampung tersebut yang mahu mengambil Said sebagai suami dengan kisah lampaunya. Jadi dia menganggap anak-anak Samad sebagai anak kandung dan sering meluangkan masa dengan mereka. Samad pula tidak pernah menceritakan ‘flaw’ yang ada pada Said dan menutup seketat-ketatnya kisah lampau Said dari pengetahuan anak-anaknya. Tidak perlu untuk mengungkit perkara yang lepas kalau apa yang ada sekarang lebih baik. Betul tak?

-TAMAT-

                Amal percaya ramai yang pernah dengar Hadis Persahabatan : Tukang Besi dan Penjual Minyak Wangi.

                “Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula sama ada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak.” (Riwayat Abu Daud)

Dalam cerita ini, Said ingin merasa bau wangi yang ada pada Samad walaupun dia sering mengotorkan dirinya dengan perkara yang tak elok. Bagi Samad, walaupun dia merasa bahang panas kerana bersahabat dengan Said, tapi dia tidak pernah berputus asa memberi sebanyak mungkin minyak wangi dan tidak malu untuk berkawan dengan orang yang lebih ‘busuk’ darinya.

                Setiap manusia ada ‘flaw’ sama ada tersembunyi atau jelas di pandangan mata manusia yang lain. Jadi apabila kita sedar hakikat ini, sekalipun ada manusia yang mungkin bagi kita tiada harapan untuk berubah, besar tanggungjawab kita untuk melindungi ‘flaw’ yang ada pada manusia sekeliling dari pengetahuan orang lain dan berusaha untuk menerima serta menjadikan seseorang manusia menjadi ‘flawless’. Tidak ada manusia atas bumi ini yang tidak mahu menjadi orang baik dan tidak mahu masuk syurga Allah. Sekalipun manusia tersebut dikelilingi dengan orang-orang yang berperangai ahli neraka dan bergelumang dengan dosa, dia tetap ingin merasa bau wangi syurga. Bagi Amal, memang penting untuk memilih kawan tetapi jangan mengabaikan kawan-kawan yang jauh tersimpang sebab mungkin dengan hubungan persahabatan yang terjalin, InsyaAllah hidayah akan datang. Sejak Amal mula terlibat dengan usrah, Amal mula rasa kepentingan untuk berkawan dengan semua orang sekalipun kadang-kadang tercalit bau busuk dan bahang panas. Kalau bau busuk, Amal hadiahkan minyak wangi. Kalau rasa panas, Amal hadiahkan kipas. Haha. Faham je kan apa yang Amal cuba sampaikan.



                Terima kekurangan yang ada pada sahabat yang hadir dalam hidup kita dengan redha. InsyaAllah, Allah akan meredhai hubungan persahabatan yang terjalin. 

No comments:

Post a Comment

My Grandmother’s Wish

        After my mother, the next strong woman that I know closely in my life is my grandmother and I call her as ‘Tok’. I still remember ...