Assalamualaikum wbt
Sebenarnya, saya dah lama sangat
nak tulis mengenai kisah Maryam, ibu kepada Nabi Isa AS. Saya rasa hampir semua
orang terutama sekali Muslim mengenali wanita solehah ini. Sebelum ini, secara
jujurnya saya hanya menganggap Maryam ini sekadar wanita solehah yang terpilih
untuk hamil tanpa nikah atau erti kata lain tanpa bersentuhan dengan lelaki.
Bayi dalam kandungannya juga merupakan hamba Allah yang terpilih untuk menjadi
seorang Nabi iaitu Nabi Isa AS dan namanya disebut dan diingati oleh Muslim serta
penganut agama Kristian dengan nama Jesus. Saya tidak ada perasaan ingin tahu
kisah disebalik kehamilan tersebut dan pengajaran yang perlu diambil dari kisah
hidup Maryam sehinggalah saya membaca buku ‘Akhawat Pakai Hoodies’ oleh Inche
Gabbana.
Keterujaan saya untuk mengetahui
kisah Maryam dengan lebih mendalam semakin bertambah apabila Naqibah saya
menghuraikan kisah Maryam berdasarkan ayat-ayat dalam al-Quran iaitu Surah
Maryam, ayat 23-25.
”Kemudian rasa
sakit akan melahirkan memaksanya (bersandar) pada pangkal pohon kurma, dia
(Maryam) berkata, “Wahai betapa (baiknya) aku mati sebelum ini, dan aku menjadi
seorang yang tidak diperhatikan dan dilupakan.” Maka dia (Jibril) berseru
kepadanya dari tempat yang rendah, “Janganlah engkau bersedih hati,
sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu. Dan goyanglah
pangkal pohon kurma itu ke arahmu, niscaya (pohon) itu akan menggugurkan buah
kurma yang masak kepadamu.”
Dalam ayat 23, Allah SWT menceritakan
semula kata-kata yang diungkap Maryam ketika bersendirian menanggung kesakitan
untuk bersalin pada pangkal pohon kurma. “Wahai betapa (baiknya) aku mati
sebelum ini, dan aku menjadi seorang yang tidak diperhatikan dan dilupakan.”
Cuba bayangkan sekiranya kita berada di tempat Maryam. Maryam ialah seorang
wanita yang rajin beribadah dan menjaga kehormatan diri dari tatapan lelaki
ajnabi. Apabila Allah SWT menguji Maryam dengan kehamilan walaupun tidak pernah
disentuh oleh mana-mana lelaki, Maryam tahu kelak apabila bayi tersebut lahir,
mereka akan dicemuh oleh masyarakat sekeliling dan Maryam akan digelar sebagai
penzina. Kata-kata yang diungkapkan oleh Maryam di dalam al-Quran menunjukkan
perasaannya yang sudah berputus-asa untuk terus hidup dan berharap masyarakat
sekeliling tidak menyedari akan kewujudan dirinya.
Kemudian Allah SWT memujuk
Maryam melalui perantaraan malaikat Jibril dengan menyuruh Maryam
menggoncangkan pangkal pohon kurma sehingga menggugurkan buah kurma yang masak
untuk dimakan. This is my favorite part. Allah SWT sangat sayangkan Maryam
tetapi Allah tidak memberikan bantuan kepada Maryam turun terus dari langit.
Sebaliknya, Allah SWT memujuk Maryam untuk menggunakan saki-baki tenaga yang
ada setelah penat melahirkan bayi dan berusaha menggoncangkan pokok kurma
sehingga gugur buah kurma yang masak. Allah SWT berkuasa untuk menjatuhkan
terus buah kurma tersebut tetapi Allah mahu Maryam berusaha sebab Allah sangat
suka hambaNya yang berusaha.
Cuba bayangkan keadaan Maryam
ketika itu. Berseorangan, kesakitan, penat melahirkan bayi, Maryam turut
berharap untuk mati seperti yang diungkapkan dalam ayat 23. Tetapi Allah SWT
ingin mengajar kepada Maryam dan kepada kita semua betapa nyawa itu anugerah
yang sangat berharga.
Sebagai seorang Muslim, kita
diajar bahawa Allah SWT tidak akan menguji hambaNya diluar kemampuan hamba
tersebut. Oleh sebab itu, Allah SWT menggalakkan hamba-hambaNya untuk bersabar
dan berusaha menghadapi ujian yang diberikan. Apabila masalah tersebut
berlarutan untuk jangka masa yang lama atau menjadi bertambah teruk, sampai ke
satu tahap kita berdoa supaya kita tidak lagi hidup atas dunia ini sebab
terlampau penat dan mungkin lebih teruk lagi kita cuba untuk membunuh diri
sendiri. Naudzubillah. Saya berdoa semoga semua orang yang membaca penulisan
ini dan orang-orang yang saya sayangi diberikan kesabaran yang tinggi oleh
Allah SWT untuk menghadapi ujian dalam hidup.
Dari
Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah salah seorang kamu
menginginkan kematian disebabkan dia tertimpa bencana. Andaipun ia tetap
berkeinginan maka hendaklah ia mengucapkan: Ya Allah, hidupkanlah aku andai
kehidupan itu baik bagiku dan matikanlah aku jika kematian itu lebih baik bagi
ku.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Daripada kisah Maryam, kita tahu
betapa Maryam seorang yang sangat penyabar bermula pada saat malaikat Jibril
menyampaikan berita kepadanya akan kelahiran seorang bayi lelaki dari rahimnya
sendiri. Setiap manusia ada batas kesabarannya dan Maryam sendiri hampir hilang
kesabarannya pada saat hendak melahirkan bayi tersebut bersendirian. Di sini,
kita dapat belajar maksud sabar. Sabar bukan bermaksud mendiamkan diri dan
terima apa sahaja yang berlaku dalam hidup. Sabar bererti terima ketentuan
Ilahi dan berusaha untuk menyelesaikan masalah serta memperbaiki kehidupan yang
sedia ada.
Oleh sebab itu, di saat Maryam
dalam keadaan putus asa, Allah memujuk untuk berusaha mendapatkan buah kurma
dengan menggoncangkan pokok kurma yang disandarnya walaupun dalam keadaan penat
dan sakit setelah melahirkan Nabi Isa AS. Allah SWT sangat menghargai usaha
Maryam untuk meneruskan hidup walaupun akan diuji dengan cemuhan dari
masyarakat sekeliling. Konsep usaha ini membuatkan saya teringat akan hadis
biji benih.
Rasulullah
SAW bersabda, “Sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa
esok akan berlaku kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari
kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Daripada hadis di atas, apa yang
dapat saya pelajari ialah dalam kehidupan kita, Allah SWT sentiasa mengukur
sejauh mana usaha kita untuk meneruskan hidup dan hasil dari segala usaha yang
kita lakukan hanyalah daripada Allah SWT. Daripada hadis ini, kita tahu yang
kita tidak akan dapat menuai hasil dari menanam biji benih kurma tersebut pada
keesokan harinya kerana hari kiamat dan mungkin kita akan merasa sia-sia
menanam biji benih kurma tersebut. Oleh sebab itu, dalam setiap usaha yang kita
lakukan, kita letakkan sepenuh kepercayaan kita kepada Allah SWT dan hanya
mengharapkan hasil yang baik daripadaNya.
Akhir sekali, sebelum saya mula
masak untuk makan tengah hari, lakukan yang terbaik setiap saat, setiap minit,
setiap jam sekalipun kita tahu masa yang diambil untuk mendapatkan apa yang
kita hajati mengambil masa yang lama atau mungkin langsung tiada apa-apa hasil
dari usaha yang kita buat. Allah SWT memandang setiap langkah usaha kita dengan
pandangan yang serius dan serahkan hasil, keputusan kepadaNya. That’s why He is
God.