Sunday, August 3, 2014

Boikot

Assalamualaikum.......


       Kebelakangan ini, sudah ramai pihak yang mula membuka mata dan menyedari akan kekejaman Israel terhadap saudara Islam kita di Palestin. Sebenarnya, boikot ini ada sejarahnya. Nak tahu? Tak nak sudah pergi tengok blog orang lain, Mal tak paksa tapi rugila. Jadi, ceritanya begini. Selepas bersara dari tentera pada tahun 1873, Kapten Charles Cunningham Boycott menjadi pengurus ladang Earl of Erne di Country Mayo, Ireland. Tugasnya adalah menentukan kadar sewa tanah, memasarkan hasil pertanian dan menjaga kebajikan para petani di kawasan tersebut tersebut tetapi Boycott tidak menjalankan tugas seperti yang sepatutnya. Amalannya itu membuatkan petani-petani membencinya.

       Mendapat tahu reaksi petani-petani, Boycott bukan sahaja menaikkan kadar sewa bahkan merampas semua hasil pertanian jika ada yang menangguh-nangguhkan sewa. Keadaan tersebut membuatkan semua petani bersetuju untuk mewujudkan persatuan menentang tindak-tanduk Boycott. Pada 1880, satu memorandum dihantar untuk mendesak Boycott membenarkan mereka sendiri menentukan kadar sewa tanah yang dikerjakan tetapi Boycott menolak mentah-mentah cadangan tersebut sambil berkata "aku pengurus di sini, aku tahu apa yang aku lakukan, kamu hanya hamba belaka."  Petani-petani merasa terhina dan menjerit-jerit namanya bahkan mengutuk dengan kata-kata lucah.


       Petani-petani berjumpa dengan setiap orang yang berurusan dengan Boycott dan mendesak mereka supaya menolak untuk bekerja di ladang-ladang di bawah jagaannya. Akhirnya, Earl terpaksa memecat Boycott, kemudian seluruh ahli keluarganya dipinggirkan. Hari ini di serata dunia, perkataan boikot digunakan secara meluas bagi menggambarkan rasa marah atau benci terhadap sesuatu. Sikap Charles Cunningham Boycott yang angkuh, kejam, tidak bertimbang rasa dan enggan bertolak ansur, menambah perbendaharaan kata kepada banyak bahasa di dunia ini. 


       Sebagai muslim, memboikot barangan musuh dengan bersungguh-sungguh adalah antara cara bagi membantu saudara kita yang tertindas. Kita tidak boleh membantu musuh menyerang saudara kita di sana dengan membeli barang dagangan mereka. Kita wajib menguatkan saudara mujahidin kita yang berjuang mempertahankan bumi Palestin. Antara caranya ialah dengan memboikot barangan musuh. Barangan buatan Amerika sama seperti barangan buatan Israel. Amerika yang wujud pada hari ini adalah Israel kedua. Golongan Yahudi itu berseronok dan bertemasya menggunakan duit yang kita sumbangkan melalui pembelian barangan mereka.


       Korang mesti tahu kan Amerika sudah lama menyumbang duit kepada Israel untuk membeli senjata, harta dan segala peralatan yang mereka perlukan. Tetapi umat Islam tetap tidak bangkit mempertahankan hak saudara mereka kerana terlindung dengan hijab yang menyebabkan mereka bersifat berat sebelah. Kita mengatakan tidak kepada Amerika Syarikat dan barangan mereka tetapi hakikatnya, kita menggunakan barangan buatan mereka. Saidina Ali R.A. menyebut, "Tiga musuh kamu; musuh kamu, sahabat musuh kamu, sahabat kepada sahabat musuh kamu." Amerika bukan sahaja sahabat Israel, bahkan lebih daripada itu. Umat Islam yang berada di seluruh dunia pada hari ini mencecah hampir tiga million mampu bergabung bagi memboikot barangan buatan Amerika.


       Pada zaman moden kini, kita dapat melihat ramai yang menggunakan senjata pemboikotan bagi mengalahkan penjajah. Mahatma Ghandi menggunakan cara boikot bagi menyelamatkan bangsa beliau daripada penjajahan Inggeris sehingga mereka bebas daripada cengkaman penjajahan Inggeris. Boikot adalah senjata yang ada di tangan sesuatu bangsa dan masyarakat. Kita perlu menggunakan senjata itu untuk bertempur dan mempertahankan umat kita. Umat ini tidak hancur dan tidak lenyap dengan izin Allah S.W.T. Boikot bukan bertujuan menyekat kemajuan ekonomi sahaja. Boikot menunjukkan rasa persaudaraan dan kesatuan kita sesama umat Islam.


       Sekiranya anak-anak diajar daripada kecil untuk tidak menggunakan barangan boikot, mereka pasti terdidik dalam suasana yang elok. Apabila dewasa, mereka mencontohi ibu bapa dalam mempertahankan kesucian bumi Palestin. Oleh itu, semua orang yang beriman kepada Allah S.W.T. dan semua umat manusia hendaklah bersatu. Kita perlu membantu orang-orang yang lemah daripada golongan lelaki dan wanita, kanak-kanak, serta orang tua di bumi Palestin. Setiap detik, pasti ada kes pembunuhan yang berlaku. Kepada semua cerdik pandai, golongan pemikir, dan ulama di setiap negara hendaklah menubuhkan satu badan bagi memboikot barangan Israel supaya pemulauan bangsa Yahudi akan berjaya. InsyaAllah.





Thursday, July 31, 2014

Pidato "Bumi Palestin Tanggungjawab Kita"

Assalamualaikum.......

       Untuk post kali ini agak istimewa sebab kali ini Mal (nama baru) akan post pidato yang Mal buat sendiri dan alhamdulillah Mal berjaya dapat tempat kedua. Dalam teks pidato ini, Mal ada selitkan sejarah awal penjajahan yang berlaku di bumi Palestin dan Mal harap korang akan dapat mendapat ibrah di sebalik peristiwa tersebut.

Bismillahirrahmanirrahim.......


27 Rejab tarikh mulia,

Satu malam tercipta sejarah,
Hari ini berdirinya saya,
Dengan pidato mantap berilmiah.

Dari Mekah ke Palestina,

Meneruskan perjalanan ke Sidratul Muntaha,
Ingin tahu apa tajuk saya?
Bumi Palestin, Tanggungjawab Kita.

Assalamualaikum Warahmatullahiwabarokatuh

       Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang peka dengan detak jamnya, para peserta yang saya kagumi serta hadirin dan hadirat yang saya kasihi. Izinkan saya merungkai maksud pidato saya pada hari ini. Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, bumi bermaksud lingkungan yang meliputi kumpulan orang. Merujuk pula kepada Wikipedia, Palestin merujuk kepada kawasan di Timur Tengah di antara Laut Mediterranean, Terusan Suez dan Jordan. Sementara tanggungjawab pula, menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua bermaksud sesuatu kerja yang mesti dilakukan. Tuntasnya, tanggungjawab terhadap Palestin harus dipikul oleh semua.

Hadirin dan hadirat yang dihormati,

       Palestin, bumi yang telah menjadi tempat persinggahan kepada Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan Baginda untuk bertemu Allah SWT. Bumi ini dianggap suci dan diberkati kerana didalamnya terdapat Masjidil Aqsa, kiblat pertama umat Islam bahkan bumi yang pernah melahirkan, membesarkan dan tempat bersemadinya lebih 50 orang para nabi.

       Sebagai pembuka tirai, adalah baik jika kita telusi akar-akar cerucuk sejarah bumi para anbia ini. Kita dapat mengenali pengasas negara Israel iaitu Theodore Hertzl yang meminta tanah Palestin daripada Khalifah Abdul Hamid II iaitu sultan terakhir Khalifah Uthmaniyyah pada tahun 1897. Tetapi, dengan tegasnya Khalifah mengatakan "Tanah itu bukan milikku, tetapi milik umatku", kemudian meludah kepada wajah Hertzl. Hertzl kemudian bekerjasama dengan British untuk merampas tanah Palestin dan memecat Abdul Hamid II daripada jawatan Khalifah. Kemudian, kerajaan Uthmaniyyah digulingkan dan bermulalah episod kezaliman dan kekejaman bangsa Yahudi ke atas umat Islam di Palestin.


       Sejak dari itu, sudah ramai para syuhada yang berusaha untuk membebaskan tanah suci Palestin sehingga sekarang. Sekiranya kita berpatah balik jauh ke belakang bermula pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar Al-Khattab, tentera Islam di bawah pemerintahan Sayidina Umar RA telah berjaya menawan bumi ini daripada Empayar Byzantine pada 683 Masihi. Sayidina Umar telah membuat perjanjian dengan orang-orang Kristian di Palestin yang terkenal dengan nama `al-Ihdat al-Umariyyah' yang bermaksud 'Perjanjian Umar' yang berbunyi "...atas nama Islam dan kaum muslimin...Tidak boleh seorang Yahudi pun tinggal bersama kaum Muslimin di Baitul Maqdis".


       Namun, sekali lagi pada tahun 1090 Masihi, bumi ini telah dirampas oleh Tentera Salib dan dijajah hampir satu abad dan pada tahun 1187, seorang Panglima Islam yang masyhur, Salahuddin Al-Ayubi telah berjaya menyatukan orang-orang Islam dari Lembah Nil hingga ke Lembah Furat dan telah berjaya merampas kembali bumi ini. Jadi, memang sudah terbukti dari zaman pemerintahan Khalifah Ar-Rasyidin bahawa setiap jengkal dari tanah Palestin itu adalah milik kita bukan milik bangsa Yahudi itu.


Hadirin yang dikasihi sekalian,

       Bumi Palestin dahagakan perjuangan kita, Bumi Palestin sudah banjir bermandi darah, adakah kita masih mahu duduk berdiam diri? Tepuk dada, tanya iman. Ingat, sabda Rasulullah SAW yang berbunyi, "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih-sayang dan saling mencintai adalah satu tubuh. Apabila salah satu anggota badannya berasa sakit, seluruh anggota tubuh yang lain akan turut merasa sakit". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).  
       
       Saya sedar, kita tidak sekuat Umar Al-Khattab, tidak segagah Salahuddin Al-Ayubi tetapi kita berkongsi semangat yang sama untuk membebaskan tanah suci Palestin. Pada saat ini, ingin saya sertakan saranan dan cadangan bagi melaksanakan tanggungjawab kita terhadap umat Islam di Palestin. Pertama, dari sudut kewangan. Kita hendaklah memperbanyakkan projek kemanusiaan untuk menghantar bantuan makanan, pakaian dan perubatan kepada Palestin. 

       Kedua, dari sudut ekonomi. Kita hendaklah memboikot syarikat-syarikat yang menyumbang kepada Israel seperti Coca-Cola. McDonald`s dan Nestle dengan menanamkan iltizam dalam generasi muda supaya tidak menggunakan atau membeli barangan Yahudi. Ketiga, dari sudut maklumat. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penyebar maklumat mengenai hal ehwal Islam hendaklah menggembleng tenaga mengadakan ceramah-ceramah di seluruh negara untuk membawa isu Palestin sehingga ke akar umbi bagi meningkatkan kesedaran umat Islam di Malaysia tentang tanggungjawab terhadap Palestin.


       Keempat, di peringkat antarabangsa. Sebagai salah satu negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) hendaklah berani dan lantang bersuara seperti Tun Dr. Mahathir menuntut kemerdekaan Palestin daripada cengkaman Israel di persidangan PBB.


Hadirin yang dirahmati Allah SWT,

       Sebagai penutup tirai wacana ilmu kita pada hari ini, saya suka ingin mengingatkan kepada hadirin sekalian bahawa kita dan anak-anak Palestin merasai cinta dan luka yang sama. Kita hendaklah sentiasa memahami isu sebenar Palestin dan menyampaikannya kepada masyarakat, kerana itulah tanggungjawab kita yang sebenarnya. Marilah kita menjadi salah seorang hamba Allah yang terpilih yang akan menyumbang kepada kemenangan Islam kelak dengan bebasnya Palestin dari cengkaman Yahudi kerana bumi Palestin, tanggungjawab kita.

Sekian, terima kasih.



Thursday, March 27, 2014

Nasionalisme

Assalamualaikum.......


       Hari ini Nieyl nak cakap pasal 'Nasionalisme', sebuah perkataan yang definisinya agak berat untuk difahami tetapi penting untuk diperjuangkan oleh setiap bangsa. Ada ramai ulama yang membahaskan perkataan ini. Ada yang menggalakkan dan ramai juga yang menolaknya. Apakah itu 'Nasionalisme' sebenarnya? Pengertian nasionalisme ialah mencintai bangsa dan negara sendiri serta kesedaraan ahli-ahli  dalam sesuatu bangsa untuk bersama-sama mencapai, mempertahankan dan mengabadikan identiti, integriti, kemakmuran dan kekuatan bangsa. Asalkan tidak terpisah dari Islam. Ini bermaksud, kita mampu untuk menjadi Muslim yang bertakwa dan nasionalis yang sejati pada waktu yang sama.  

       Bagi Ikhwanul Muslimin, sekiranya generasi muda sesuatu bangsa tersebut mengikut generasi yang terdahulu pada sudut kemuncak ketinggiannya, kebesarannya, pintar dan mempunyai hikmah yang tinggi, sekiranya generasi terdahulu sesuatu bangsa menjadi contoh yang baik kepada generasi muda, sekiranya dalam sesuatu bangsa itu, kebesaran nenek moyang adalah sesuatu yang dibanggakan oleh anak cucu dan mereka mendapat  semangat yang didorong oleh hubungan keturunan, maka perkara-perkara tersebut amat digalakkan dan diterima untuk diamalkan. Dalam sabda Rasulullah Sallallahu'alaihi Wassalam :
"Manusia itu galian, mereka yang terpilih dalam jahiliyahnya, mereka itulah juga yang terpilih sesudah Islamnya sekiranya mereka faham".

       Kalau kita tengok balik sejarah ketamadunan Islam, Empayar Uthmaniyyah ialah simbol kekuasaan Islam yang dikuasai oleh bangsa bukan Arab. Maksudnya disini, tidak semestinya empayar Islam mesti dikuasai oleh bangsa Arab. Orang-orang Turki pada waktu tersebut begitu memegang teguh dengan prinsip nasionalisme dan pada waktu yang sama amat menginginkan jihad untuk menegakkan syiar Islam. Bangsa ini adalah pemimpin-pemimpin yang terus-menerus berjuang menentang Byzantine, lalu wujudlah empayar atau kerajaan Uthmaniyyah yang menampung kerajaan-kerajaan kecil bangsa Turki yang lain. Selain itu, empayar ini juga sebenarnya membantu negara-negara Islam pada zaman tersebut.

       Pernah tengok filem "Lawarence of Arabia"? Kalau belum kena tengok cerita tersebut dan belajar macam mana salah faham mengenai konsep nasionalisme mampu membawa kepada perpecahan umat Islam. Lawrence ialah seorang perisik Britain yang ditugaskan untuk menyuburkan semangat nasionalisme di negara-negara Arab dengan beranggapan bahawa hanya bangsa Arab sahaja yang layak untuk menguasai empayar Islam, menjadi pelindung bagi Muslim di Palestin, Afghanistan, Iraq, Pattani, Rohingya, Bosnia, Azebaijan dan di seluruh dunia bukannya bangsa Turki. Lawrence telah menghasut kerajaan Arab Saudi untuk menyerang Turki.

       Pemerintah Arab ketika itu, Emir Faisal 1 berpaling tadah dan terpengaruh dengan hasutan Lawrence. Beliau telah memihak kepada Britain dan sejak itu, kerajaan Arab Saudi menjadi tali barut Britain. Sebenarnya, tujuan Lawrence yang sebenarnya ialah untuk memastikan kerajaan Turki runtuh supaya Britain dapat menduduki semula kawasan Palestin yang pada waktu itu di bawah perlindungan kerajaan Uthmaniyyah. Akhirnya, misi terlaksana dan pada tahun 1917, Britain menduduki semula kawasan Palestin. Tentera Britain yang diketuai oleh General Allenby memasuki Palestin pada 9 Disember 1917 lalu memberi ucapan "Hari ini perang salib sudah berakhir" yang bermaksud kejayaan telah berjaya dicapai.

       Pada tahun 1919, kerajaan Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasan yang luas termasuklah Palestin setelah berakhirnya Perang Dunia Pertama. Dari sini, kita boleh lihat positif dan negatif semangat nasionalisme. Bangsa Uthmaniyyah berjaya membina empayar Islam yang kuat dan melindungi negara-negara Islam yang lain tetapi kerajaan Arab Saudi yang kononnya mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi telah menyerang kerajaan Uthmaniyyah sehingga negara-negara Islam yang memerlukan perlidungan menjadi korban dan dijajah oleh negara bukan Islam dan kini, dikuasai oleh bangsa Yahudi.

       Oleh itu, kita kena faham konsep nasionalisme dengan betul-betul mendalam. Nasionalisme itu pada keseluruhannya adalah dituntut dengan bekerja dan berjihad serta merupakan kewajipan setiap jemaah bagi mencapai matlamat masing-masing sehingga InsyaAllah kita bertemu di satu puncak kemenangan. Sebagai bangsa Melayu yang beragama Islam, kita juga dituntut untuk menegakkan kembali syiar Islam dan membantu negara-negara Islam yang lain tidak mengira bangsa. Andainya dengan bangkitnya sesuatu bangsa itu semata-mata kerana memperjuangkan agama Islam, maka sebagai umat Islam kita hendaklah menyokong bangsa tersebut dengan pertalian aqidah yang sama.



.

Tuesday, March 18, 2014

Pemuda

Assalamualaikum.......
  
       Sebelum tu nak tanya sikit, kenal Usamah bin Zaid? kenal Az-Zubair bin Awwam? kenal Sa'ad bin Abi Waqash? TIDAK!!! kenal Justin Bieber? kenal Zac Efron? kenal Lee Min Ho? EVERYONE KNOWS THEM, RIGHT!!! Siapa mereka? Mereka adalah dalam golongan pemuda yang diangkat oleh seangkatan dunia sebagai belia yang hebat. Apa beza tiga pemuda yang pertama dan yang kedua tu? Tiga pemuda yang pertama ialah pemimpin muda Islam yang berjuang menegakkan syariat Islam tetapi yang lain tu pulak ialah pemuda yang banyak mempengaruhi dan digilai oleh remaja dengan wajah yang kacak dan watak romantis yang dilakonkan dalam drama sekarang.

       Baru-baru ini, negara kita dikejutkan dengan 6 orang remaja maut termasuk 3 orang gadis yang disyaki mengambil  dadah berlebihan sehingga mengalami sesak nafas di konsert 'Future Music Festival Asia'. Rasa sangat rugi sebab mereka mati dalam keadaan yang tidak baik bagi seorang Muslim dan mereka bakal menjadi pemimpin yang akan menerajui negara pada suatu hari nanti. Nanti akan ada pula konsert 'Paint Party' yang bakal berlangsung. Berapa ramai pula remaja Muslim yang akan terkorban berjuang dalam memuaskan hawa nafsu? Kita sepatutnya lebih sensitif akan penganjuran konsert seperti ini dan apa-apa lagi acara yang mampu merosakkan bakal pemimpin kita pada masa hadapan.

       Usamah bin Zaid, menjadi panglima perang sejak usianya 19 tahun. Tidakkah kita rasa malu dengan beliau? Nieyl sendiri rasa malu sebab bila reflek balik diri sendiri, apalah sangat sumbangan yang Nieyl buat pada usia 19 tahun. Beliau seorang yang cerdik dan pintar, bijak sana dan pandai, takwa dan wara. Beliau sentiasa menjauhkan diri dari perbuatan tercela. Inilah sebenarnya fitrah manusia yang Islam cuba didik dalam diri kita. Az-Zubair bin Awwam pula, sorang anggota pasukan berkuda, tentera yang berani, pemimpin dakwah Islam pada usia 15 tahun. Kalau kat Malaysia, kita perlu ambil peperiksaan PMR di sekolah. Beliau dah jadi macam-macam dan memberikan sumbangan yang macam-macam.

       Jom kenal Saad bin Abi Waqash. Beliau seorang sateria berkuda Muslimin palaing berani pada usia baru 17 tahun. Kita pada waktu tu sibuk dengan SPM. Beliau juga dikenali sebagai pemanah terbaik, sahabat yang pertama mengalirkan darahnya untuk Islam malah disebut oleh Rasulullah sebagai penduduk syurga. Nieyl pasti di sekolah tertentu pasti ada kelab memanah kan? Pada pendapat Nieyl, Nieyl menggalakkan untuk pelajar-pelajar yang berpeluang sertailah kelab tersebut. Kenapa? Sebab Rasulullah pernah sebut mengenai kebaikan sukan tersebut dalam Hadis Baginda. Permainan ini juga termasuk dalam sunah Baginda.
"Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu." Riwayat Bazzar dan Thabarani.

       Remaja pada zaman sekarang terlalu dahagakan keseronokan. Oleh sebab itu, apa-apa sahaja benda yang seronok dibuat akan dilakukan sama ada kerana terikut-ikut dengan sikap kawan atau untuk memuaskan hawa nafsu. Aktiviti seperti rokok, pergaulan bebas, lepak, mat rempit, dan dadah dianggap sebagai perkara yang menyeronokkan. Cuba tengok idola remaja sekarang Justin Bieber, sudah berapa kali kena tangkap memandu di bawah alkohol dan menunjukkan gambar yang tidak senonoh di laman web. Adakah sikap seperti ini yang perlu kita agung-agungkan padahal kita sendiri ada tokoh yang lebih hebat dan lebih layak diagungkan sebenarnya. 

       Sudah-sudahlah seronok dengan perkara yang tidak membawa sebarang faedah kepada sesiapapun. Selepas ini siapa lagi yang boleh diharapkan untuk memipin negara kalau bukan remaja kita sendiri. Takkan kita nak kesilapan berulang kembali dengan mengharapkan kuasa luar untuk memimpin negara kita. Sampai bila kesilapan harus berulang? Sampai bila kita nak dijajah secara mental? Sampai bila kita nak berseronok? dan Bila kita nak bangun? Ada jawapannya? Nieyl pesan kepada diri sendiri dan semua orang di luar sana, masa untuk kita bersikap lebih matang dan bergerak maju ke hadapan sudah tiba. Ingat, matang tidak dikira dengan usia. Kalau usia 19 tahun boleh jadi panlima perang seperti tokoh Islam terdahulu, takkan zaman sekarang umur 91 tahun baru nak matang. BANGUN DARI MIMPI DAN KEJAR REALITI.


Monday, March 10, 2014

Ada Hikmah di Sebaliknya

Assalamualaikum.......


       Sebelum tu Nieyl nak tanya, ingat lagi tak Perjanjian Hudaibiyah yang kita belajar dalam subjek Sirah waktu sekolah rendah dulu? Kalau tak ingat, sila ingatkan kembali. Kenapa? Sebab sejarah mungkin akan berulang di negara kita. Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani antara pihak Musyrikin Mekah dengan Rasulullah di Hudaibiyah. Antara isi perjanjiannya ialah orang Islam dibenarkan memasuki Mekah pada tahun berikutnya, tinggal di Mekah selama 3 hari sahaja dengan hanya membawa senjata bersarung, orang Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga dikembalikan semula dan orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan.

       Kalau kita tengaok balik perjanjian tersebut, isi kandungannya lebih memihak kepada Musyrikin Mekah dan kurang bermanfaat kepada orang Islam sehingga Saidina Umar al-Khattab sendiri tidak berpuas hati dengan perjanjian tersebut. Tetapi kenapa Rasulullah tetap menandatanganinya? Sebab Rasulullah nampak hikmah di sebaliknya. Antara hikmah tersebut ialah berkembangnya syiar Islam, Musyrikin Quraisy semakin lemah dan membuka jalan kepada pembebasan Mekah daripada Musyrikin Quraisy. Betapa Allah Maha Mengetahui dan Maha Pelindung kepada umat Islam. Cuba kita kaitkan peristiwa tersebut dengan Perlembagaan Malaysia sekarang.


       Perlembagaan Persekutuan dirangka oleh Suruhanjaya Reid yang diketuai oleh hakima Mahkamah Rayuan England iaitu Lord Reid. Kalau kita boleh mnyusuri lagi jauh ke belakang, Tanah Melayu pada zaman dahulu diperintah oleh Raja-raja Melayu yang mnguasai hampir semua aspek seperti ekonomi dan pendidikan. Tetapi apabila kerajaan Inggeris ingin menubuhkan Malayan Union, hak dan kuasa Raja-raja Melayu telah dirampas dan kesannya dapat dilihat sehingga sekarang dimana Raja-raja Melayu hanya berkuasa dalam hal agama Islam dan adat istiadat orang Melayu sahaja. 


Perlembagaan Malaysia

Perkara 3. Agama bagi Persekutuan,  
(2) Di dalam tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai     Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh     Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat; tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan, setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya. 

       Walaupun begitu, jangan pandang serong kepada kuasa Raja-raja Melayu sekarang. Sejak akhir-akhir ini, kita boleh lihat parti-parti politik yang bukan bumiputera sudah berebut-rebut untuk mendapatkan jawatan tertinggi dalam organisasi pemerintahan kerajaan dan kerusi di Parlimen. Walaupun Perlembagaan Malaysia tidak mewajibkan Perdana Menteri dilantik dalam kalangan bukan bumiputera, andainya orang Melayu tidak bersatu dan berpecah-belah, kuasa orang Melayu di peringkat tertinggi akan terancam. Tetapi itu bukannya kesudahannya kerana kita masih ada benteng yang terakhir iaitu Raja-raja Melayu. Nauzubillah, Nieyl tidak mendoakan hal ini tetapi andainya agama Islam akan dilucutkan daripada menjadi agama bagi persekutuan oleh pihak-pihak durjana, perkara tersebut tidak akan berlaku.


       Sudah termaktub dalam persekutuan bahawa Raja-raja Melayu, Yang di Pertua Agong merupakan Ketua Agama Islam yang bermaksud, selagi Raja-raja Melayu masih ada, syiar Islam akan terus berkembang. Subhanallah, Allah telah selamatkan agama Islam dari sudut perundangan walaupun kita nampak perkara tersebut kecil, tetapi impaknya besar untuk menyelamatkan akidah umat Islam di negara ini. Nieyl tahu ramai yang tidak berpuas hati dengan Rja-raja Melayu dan kerabat diraja Melayu sekarang. Nieyl pun lebih kurang je.... Tetapi kita kena fikir umat Islam sejagat dan kepentingan institusi diraja Melayu itu sendiri. Perkara-perkara tak senonoh yang dilakukan oleh Raja-raja Melayu atau ahli kerabat diaraja tersebut ialah urusan mereka dengan Allah. Tanggungjawab kita sekarang ialah mempertahankan agam Islam yang suci ini melalui institusi Raja-raja Melayu sahaja.





       


Saturday, January 4, 2014

Selamat Tinggal Penjajahan.... Fizikal dan Mental

Assalamualaikum.......

       Malaysia pernah dijajah selama lebih 400 tahun bermula dari kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka. Walaupun kita sudah merdeka pada 31 Ogos 1957 setelah bersusah-payah berualng-alik ke London untuk berunding dengan pihak British, adakah kita betul-betul merdeka? Cuba tengok diri dan sekeliling kita. Baju yang kita pakai sekarang, rumah tempat tinggal kita sekarang dan mungkin lagu yang sedang kita dengar sekarang. Mungkin secara fizikalnya kita merdeka kerana kita berjaya memerintah negara mengikut cara kita tetapi bukan dari sudut pemikiran.

       Kalau Nieyl kaitkan penjajah dengan jahiliyah, boleh faham tak? Apa kaitannya? Mula-mula sekali, kita kena tahu maksud jahiliyah iaitu jahil atau tidak tahu tentang Allah SWT, para RasulNya dan syariat Islam. So boleh la kan sebab penjajah yang menjajah kita lebih dari 400 tahun tu bukan Islam pun. Kalau kita cuba kaitkan dengan yang atas tadi, apa yang Nieyl cuba sampaikan ialah kita masih dijajah oleh pemikiran jahiliyah yang dibawa oleh penjajah yang bukan Islam sebab jahiliyah ialah bukan Islam.

       Cuma perbezaan antara kita dengan kaum Quraisy Mekah sebelum kedatangan Islam ialah kita tergolong dalam jahiliyah moden iaitu ada 2 golongan sama ada golongan Muslim yang sedia jahil tentang Islam atau golongan Muslim yang tahu, tetapi tidak mahu melaksanakan Islam. Yang mana lebih teruk? Pada pandangan Nieyl la kan, yang kedua tu. Kenapa? sebab dah tahu tapi tak tahu. Kenapa buat-buat tak tahu? Sebab terlalu terpesona dengan idealisme dan unsur-unsur penjajah yang masih melekat dalam diri melalui hiburan dan media massa walaupun setiap tahun pada 31 Ogos, mulut pasti akan melaungkan perkataan 'MERDEKA'. Merdekakah kita?

       Ibnu Taimiyah ada menghuraikan ayat 51-52 dari surah An-Nisa', Allah mencela golongan yang telah menerima kitab, tapi masih lagi beriman kepada sesuatu yang di luar risalah. Mereka lebih mengutamakan 'orang luar' risalah berbanding orang-orang yang beriman. Ibnu Taimiyah ialah seorang sarjana Sunni dari Turki. Kita ambil contoh paling dekat pendidikan Islam di sekolah. Nieyl bukanlah tidak suka sistem pendidikan sekarang cuma kadang-kadang ada perkara yang perlu diperbetulkan.

       Kita belajar buku teks agama, belajar hadis, tilawah al-Quran, sejaran tokoh Islam tapi bila belajar Sejarah, Biologi, Fizik, kita lebih banyak mengambil idea tokoh-tokoh luar yang bukan Islam sedangkan kita ada tokoh-tokoh Islam terdahulu yang lebig mahir dan sumber rujukan yang paling hebat sepanjang zaman iaitu al-Quran. Lagipun kalau belajar buku teks Sejarah betul-betul, kita akan dapati bahawa kebanyaka sejarah yang dipelajari banyak menyebelahi pihak Barat dan pihak bukan Islam. Hal ini menunjukkan kita masih lagi terikat dengan unsur sekularisme iaitu memisahkan hal dunia dengan hal agama.

       Lagi satu, orang Melayu dari dulu sampai sekarang semangat kenegerian tersangat kuat dan kadang-kadang malampau apabila musim bola. Padahal kita semua tinggal dalam satu negara dan berpegang kepada satu akidah. Allah menjelaskan bahawa umat Islam disatukan dengan kesatuan aqidah. Maka tidak sepatutnya seorang mukmin itu sombong dengan pangkat, kuasa, darah keturunan, bangsa, semangat kenegerian dan asal usulnya. Ia tiada nilai disisi Allah.


       Memandangkan pembaca sudah pun membaca 6 perenggan diatas, masih lagi tak tahu atau buat-buat tak tahu? Tepuk dada tanya iman. Cuma Nieyl berharap fenomena yang wujud dalam masyarakat kita yang terlalu taksub dengan kenegerian, pangkat atau kuasa yang dimiliki akan terhapus. Andai kata sikap ini berterusan, sampai bila-bila pun orang Melayu tidak akan bersatu. Cukuplah dengan idea sekularisme yang sudah sebati dalam diri kita akibat dari penjajahan takkan kita nak wujudkan lagi jurang antara kita? Renungkanlah........


My Grandmother’s Wish

        After my mother, the next strong woman that I know closely in my life is my grandmother and I call her as ‘Tok’. I still remember ...