Saturday, October 6, 2018

Penyakit Wahn dan Zuhud


Assalamualaikum wbt.

       Saya baru sahaja selesai membaca buku tulisan Teme Abdullah yang bertajuk “Impian Jalanan”. Ini merupakan kali pertama saya membaca buku tulisan Teme Abdullah dan perkataan yang terbaik untuk menggambarkan buku ini dalam bahasa Jepun ialah 面白い (baca: omoshiroi). Boleh cari sendiri maksud perkataan ini dengan Cik Google Translate. Watak Iskandar yang hidup dalam setiap bab membuatkan saya mengimbau kenangan sewaktu saya di bangku sekolah rendah. Teme berjaya mengolah cerita dengan baik dan sangat dekat dengan realiti kehidupan sebenar. Tetapi tulisan saya kali ini bukanlah untuk memberi komen tentang buku ini, hanya ingin berkongsi kisah yang membuatkan perspektif saya berubah tentang zuhud yang saya dapat melalui buku ini.

Gambar: Kulit buku Impian Jalanan

       Dalam buku “Impian Jalanan” pada bab 16: Zuhud, ibu Iskandar menasihati anaknya supada menjadi seorang arikitek, dan andai kata dikurniakan rezeki untuk menjadi orang kaya jangan lupa untuk membantu orang yang susah. Tetapi Iskandar membalas dia tidak mahu menjadi orang kaya dengan alasan orang kaya tidak zuhud. Iskandar ingin menjadi seorang yang zuhud kerana ustaz di sekolahnya pernah berkata yang orang zuhud senang masuk syurga. Bagi Iskandar, orang kaya tidak zuhud kerana selalu fikirkan hal dunia dan sibuk mengumpul harta. Selepas mendengar kata-kata Iskandar, ibunya mula bercerita mengenai sebuah kisah…….

       “Pada suatu hari, ada seorang alim yang duduk di satu tempat terpencil. Masa dia muda dulu, dia ada seorang kawan baik yang bersama-sama mengaji agama dengannnya di sebuah madrasah. Mereka berdua sama-sama mengenal agama dan Tuhan di madrasah tersebut. Mereka berdua sama-sama menjadi ilmuwan dalam bidang agama. Apabila mereka sudah habis belajar di madrasah tersebut, mereka pun membawa haluan masing-masing. Hari berganti hari, tahun berganti tahun. Dipendekkan cerita, salah seorang daripada dua sahabat ini menjadi orang yang terkenal dengan kehebatan ilmunya. Kini, beliau digelar Tok Guru. Seorang lagi pula menjadi seorang usahawan terkenal bergelar Tan Sri.

       Tok Guru ni ada ramai anak murid. Pada suatu hari, salah seorang daripada anak murid dia berkata: Tok Guru… saya dipanggil untuk memberi tazkirah di rumah seorang ahli perniagaan. Tok Guru pun berpesan kepada anak muridnya itu: Wahai anak muridku, boleh tak kau tolong sampaikan sesuatu kepada sahabatku itu? Anak murid dia pun cakap: Boleh, Tok Guru. Saya berbesar hati untuk menyampaikan.

       Kau sampaikan salam aku kepada sahabatku itu. Minta dia doakan aku di hadapan engkau. Kau dengarlah doanya, dan ceritakan padaku apabila kau pulang, pesan Tok Guru. Baik Tok Guru, insya-Allah saya sampaikan, balas anak didiknya itu.

       Dia pun tiba di hadapan rumah Tan Sri. Si anak murid ini tadi terpegun melihat pagar rumah itu yang sangat besar dan indah.

       Belum cukup dengan kejutan tadi, alangkah terkesimanya dia apabila melihat kebesaran rumah Tan Sri. Tersergam indah. Penuh dengan manusia yang bersedia untuk mendengar ceramah daripadanya. Si anak murid ini mencuba untuk menjadi professional dan menyembunyikan keterujaannya. Dia menjalankan tugasnya sebagai ustaz untuk memberi ceramah di rumah yang seakan istana tersebut. Selesai memberi ceramah, dia menghabiskan masa berbual-bual dengan Tan Sri. Dia terharu dengan kerendahan hati dan kelunakan budi bicara Tan Sri. Betullah kata Tok Gurunya, Tan Sri ini merupakan orang yang baik dan selalu menolong orang lain.

       Di hujung perbualan sebelum si ustaz ini pulang, dia pun menyampaikan amanat Tok Gurunya kepada Tan Sri.

       Ayuh… lanjutkan permintaan itu. Akan ku cuba tunaikan apa saja permintaan sahabatku Tok Guru yang alim itu.

       Tok Guru meminta Tan Sri doakan yang baik-baik untuk dirinya.

       Itu saja? Insya-Allah saya akan doakan sahabat saya itu. Katakan padanya: Walaupun kita sudah lama tidak bersua muka, saya sering mendoakannya setiap kali teringat.

       Err…hmmm bukan itu saja Tan Sri.

       Ya anak muda? Apa lagi yang Tok Guru kamu minta kamu sampaikan?

    Tok Guru meminta supaya Tan Sri mendoakannya di hadapan saya. Kemudian saya perlu mendengar isi doa Tan Sri dan sampaikan kepada Tok Guru setelah pulang nanti.

       Oh begitu…baiklah, jawab Tan Sri.

       Maka Tan Sri pun menadah tangan dan memejamkan matanya berdoa. Si ustaz tadi pun turut menadah tangan untuk sama-sama mengaminkan doa Tan Sri yang kaya. Setelah selesai ucapan-ucapan tahmid dan selawat kepada baginda Rasulullah S.A.W., Tan Sri memulakan doanya: Ya Allah, Tuhan yang berkuasa membolak-balikkan hati. Engkau tetapkanlah hati sahabatku Tok Guru di atas jalan yang benar. Kau cabutlah kecintaan kepada dunia daripada hatinya. Kau hilangkanlah penyakit wahn daripada dirinya. Jadikanlah dia seorang yang zuhud. Lalu Tan Sri tamatkan doa itu dengan zikir dan selawat. Mereka mengaminkan doa itu bersama-sama.

       Doa ini terngiang-ngiang dalam fikiran ustaz itu. Baginya, banyak lagi doa yang lebih sesuai. Mengapa pula Tan Sri mendoakan supaya Tok Guru dicabutkan kecintaan terhadap dunia?

       Pakaian Tan Sri bernilai ribuan ringgit, berbeza dengan persalinan Tok Guru yang lusuh dan mengharap ihsan orang lain. Jika dilihat dari sudut ini, siapakah yang lebih tinggi cintanya kepada dunia? Doa itu lebih sesuai jika dipadankan dengan Tan Sri sendiri. Bukan Tok Guru. Ustaz tersebut tidak berpuas hati. Tanggapannya terhadap Tan Sri berubah. Pada awalnya, dia merasakan yang Tan Sri merupakan seorang yang merendah diri. Sekarang dia merasakan Tan Sri adalah orang yang ego. Tan Sri tidak sedar diri yang dia sendiri sebenarnya mengejar dunia dan membiarkan dunia menguasai hatinya. Baginya, Tan Sri telah hanyut dibuai harta-harta dunia yang membelainya. Mungkin juga Tan Sri ingin orang lain tidak tertarik kepada dunia supaya dia boleh mengutip kekayaan dunia semahu nafsunya.

       Sesampainya ke rumah Tok Guru, ustaz mengetuk pintu usang teratak kecil orang tua tersebut. Sudahkah kau sampaikan permintaanku kepada Tan Sri? Tok Guru bertanya.

       Usah berlengah lagi. Ayuh khabarkan kepadaku isi doanya. Tok Guru menggesa. Ustaz itu berasa teragak-agak untuk menyampaikan isi doa tersebut. Tok Guru itu dapat mengesan kegusaran pada anak muridnya lalu dia bertanya: Mengapa anak muridku? Apakah yang mengganggu fikiranmu? Anak muridnya itu pun menjawab: Doa Tan Sri…Doa Tan Sri…hmmm.

       Kata anak muridnya: Doa Tan Sri mungkin tidak seperti yang Tok Guru harapkan. Lalu dengan tenang Tok Guru berkata: Tak mengapa. Sampaikan saja doanya.

       Ustaz pun menyampaikan isi doa tersebut: Tan Sri berdoa agar Allah cabut kecintaan kepada dunia daripada hati Tok Guru. Tan Sri berdoa agar Tok Guru dibebaskan daripada penyakit wahn dan menjadi zuhud. Mendengar kata-kata Ustaz, Tok Guru terdiam dan menundukkan pandangannya ke lantai. Ustaz tahu yang Tok Gurunya berasa sedih dengan doa ini lalu dia cuba menyebelahi Tok Gurunya: Alangkah kejamnya Tan Sri. Sedangkan dia yang penuh kecintaan dunia dalam hatinya, diberikan doa yang tidak sepadan dengan sahabat sendiri yang sudah bertahun-tahun merinduinya. Tok Guru hanya mengesatkan air mata. Perlahan-lahan dia berjalan ke sebuah katil kayu di dalam rumahnya. Tok Guru duduk di katil tersebut lalu menitiskan air mata. Dia menangis.

       Tok Guru berkata kepada anak muridnya: Alangkah soleh sahabatku itu. Tahu saja nasihat yang sepadan denganku. Wahai ustaz, engkau nampak teko ini?

       Nampak Tok Guru. Inilah teko yang Tok Guru gunakan untuk mereneh teh dan kopi kegemaran Tok Guru. Semasa Tok Guru memberi ceramah kepada kami pun Tok Guru akan bawa teko ini bersama-sama, begitu jawab anak muridnya. Lepas Tok Guru tu mendengar jawapan ustaz tadi, Tok Guru pun mengiakan: Betul katamu. Tok Guru meletakkan teko itu ke atas ribanya dan menyambung kata-katanya: Rumah aku using, basikal aku sudah berkarat, baju-baju aku sudah lusuh. Tetapi teko ini…ini sajalah harta yang aku ada dan yang paling berharga. Ia diperbuat daripada besi yang tidak mudah berkarat. Sebab itulah keadaannya masih baik.

       Ada sebab kenapa aku letakkan teko ini di sebelah katil. Dengan meletakkannya di situ, aku senang untuk melihatnya sebelum tidur. Senang juga untuk aku pastikan yang ia masih ada di situ selepas aku terjaga. Aku risau teko ini hilang. Dengan bekas besi inilah aku bancuh minuman kesukaanku. Aku rasakan ia amat penting, kerana ia satu-satunya hartaku. Tanpa aku sedar, bekas air ini telah menguasai hatiku. Aku terlalu bimbang akan harta aku ini terlepas daripada genggamanku.

       Tok Guru meneruskan: Hati aku berbeza dengan hati Tan Sri. Dia dikurniakan Allah dengan harta yang melimpah-ruah. Mata orang kebiasaan akan melihat Tan Sri sebagai orang yang terikat hatinya dengan dunia. Hanya kerana hartanya yang bertimbun, dia dianggap tidak zuhud. Hakikatnya, tiada satu habuk pun harta kepunyaannya yang dia bimbang akan terlepas daripada genggamannya. Aku pula…walaupun hartaku hanya sebuah teko besi, kecintaanku terhadap teko ini lebih tinggi daripada kecintaan Tan Sri terhadap seluruh harta-harta kepunyaannya. Selalu orang kata, kalau kulit buku itu buruk, tidak semestinya isinya buruk juga. Tapi dalam cerita tadi berbeza. Kalau kita tengok orang itu cantik, jangan kita sangka dalamannya tidak sama cantik.

       Orang yang ada harta berjuta-juta, tidak semestinya tidak zuhud. Bayangkan orang kaya yang ada empat juta ringgit. Satu perempat hartanya disedekahkan. Nilai sedekahnya sebanyak sejuta ringgit, manakala tiga juta lagi dia gunakan untuk dirinya sendiri. Lalu orang pun merendah-rendahkan: Alah kau…derma sejuta saja. Untuk diri sendiri tiga juta. Walhal orang yang bercakap tu tak mampu pun nak derma seribu ringgit jika dia ada wang empat ribu ringgit. Padahal nilainya juga satu perempat. Bahkan, lima puluh ringgit pun belum tentu dia mampu dermakan.” 

       Begitulah sebahagian cerita di dalam bab ini. Saya tertarik dengan cerita zuhud ini kerana sifat zuhud perlu ada dalam diri setiap manusia tidak kira kaya atau miskin. Saya yakin setiap orang malah diri sendiri pasti ada ruang di dalam hati untuk cintakan harta, tidak kira berapa jumlah harta yang kita miliki. Terlalu cinta sehingga lupa yang semua harta tersebut bukan milik kita sepenuhnya hatta duit syiling 10 sen. Kita nampak orang kaya yang banyak harta seolah-olah sentiasa memikirkan dunia dan menghabiskan masa untuk mengumpul harta tetapi kita tak nampak berapa banyak harta yang orang kaya sudah dermakan kepada orang lain.

       Kita nampak orang miskin yang mempunyai harta yang sedikit tetapi kita tidak tahu adakah orang miskin ini mahu sedekahkan harta yang tidak seberapa untuk orang lain. Andai kata sewaktu miskin kita mendidik hati menjadi kedekut untuk menderma kerana takut harta berkurang, percayalah semakin kita kaya semakin kita menjadi kedekut. Allah sengaja mencipta perasaan tamak dalam hati manusia untuk menguji sejauh mana kecintaan kita terhadap harta berbanding cinta kepadaNya. Sebab itu, saya selalu berpesan kepada diri sendiri untuk sentiasa meletakkan ‘limit’ dalam apa sahaja yang saya buat.

       Belanja dengan sederhana, bekerja mengikut masa, kerana sifat manusia apabila melakukan sesuatu berlebihan, mereka tidak tahu dan tidak mahu untuk berhenti sekalipun sudah mempunyai segunung wang emas. Mungkin jika ditanya apakah penyakit yang paling manusia takuti, mereka akan menjawab kanser, sakit jantung atau strok. Tetapi mereka lupa untuk berasa takut dengan penyakit wahn itu sendiri kerana penyakit ini tidak mendatangkan sakit kepada tubuh badan tetapi memberi kegembiraan di dalam hati apabila mengumpul harta sehingga lupa akan kematian. Ubat kepada penyakit wahn ialah zuhud tetapi manusia sanggup berperang demi harta seolah-olah mereka akan hidup kekal di dunia ini.

My Grandmother’s Wish

        After my mother, the next strong woman that I know closely in my life is my grandmother and I call her as ‘Tok’. I still remember ...