Hari ini Nieyl nak cakap pasal 'Nasionalisme', sebuah perkataan yang definisinya agak berat untuk difahami tetapi penting untuk diperjuangkan oleh setiap bangsa. Ada ramai ulama yang membahaskan perkataan ini. Ada yang menggalakkan dan ramai juga yang menolaknya. Apakah itu 'Nasionalisme' sebenarnya? Pengertian nasionalisme ialah mencintai bangsa dan negara sendiri serta kesedaraan ahli-ahli dalam sesuatu bangsa untuk bersama-sama mencapai, mempertahankan dan mengabadikan identiti, integriti, kemakmuran dan kekuatan bangsa. Asalkan tidak terpisah dari Islam. Ini bermaksud, kita mampu untuk menjadi Muslim yang bertakwa dan nasionalis yang sejati pada waktu yang sama.
Bagi Ikhwanul Muslimin, sekiranya generasi muda sesuatu bangsa tersebut mengikut generasi yang terdahulu pada sudut kemuncak ketinggiannya, kebesarannya, pintar dan mempunyai hikmah yang tinggi, sekiranya generasi terdahulu sesuatu bangsa menjadi contoh yang baik kepada generasi muda, sekiranya dalam sesuatu bangsa itu, kebesaran nenek moyang adalah sesuatu yang dibanggakan oleh anak cucu dan mereka mendapat semangat yang didorong oleh hubungan keturunan, maka perkara-perkara tersebut amat digalakkan dan diterima untuk diamalkan. Dalam sabda Rasulullah Sallallahu'alaihi Wassalam :
"Manusia itu galian, mereka yang terpilih dalam jahiliyahnya, mereka itulah juga yang terpilih sesudah Islamnya sekiranya mereka faham".
Kalau kita tengok balik sejarah ketamadunan Islam, Empayar Uthmaniyyah ialah simbol kekuasaan Islam yang dikuasai oleh bangsa bukan Arab. Maksudnya disini, tidak semestinya empayar Islam mesti dikuasai oleh bangsa Arab. Orang-orang Turki pada waktu tersebut begitu memegang teguh dengan prinsip nasionalisme dan pada waktu yang sama amat menginginkan jihad untuk menegakkan syiar Islam. Bangsa ini adalah pemimpin-pemimpin yang terus-menerus berjuang menentang Byzantine, lalu wujudlah empayar atau kerajaan Uthmaniyyah yang menampung kerajaan-kerajaan kecil bangsa Turki yang lain. Selain itu, empayar ini juga sebenarnya membantu negara-negara Islam pada zaman tersebut.
Pernah tengok filem "Lawarence of Arabia"? Kalau belum kena tengok cerita tersebut dan belajar macam mana salah faham mengenai konsep nasionalisme mampu membawa kepada perpecahan umat Islam. Lawrence ialah seorang perisik Britain yang ditugaskan untuk menyuburkan semangat nasionalisme di negara-negara Arab dengan beranggapan bahawa hanya bangsa Arab sahaja yang layak untuk menguasai empayar Islam, menjadi pelindung bagi Muslim di Palestin, Afghanistan, Iraq, Pattani, Rohingya, Bosnia, Azebaijan dan di seluruh dunia bukannya bangsa Turki. Lawrence telah menghasut kerajaan Arab Saudi untuk menyerang Turki.
Pemerintah Arab ketika itu, Emir Faisal 1 berpaling tadah dan terpengaruh dengan hasutan Lawrence. Beliau telah memihak kepada Britain dan sejak itu, kerajaan Arab Saudi menjadi tali barut Britain. Sebenarnya, tujuan Lawrence yang sebenarnya ialah untuk memastikan kerajaan Turki runtuh supaya Britain dapat menduduki semula kawasan Palestin yang pada waktu itu di bawah perlindungan kerajaan Uthmaniyyah. Akhirnya, misi terlaksana dan pada tahun 1917, Britain menduduki semula kawasan Palestin. Tentera Britain yang diketuai oleh General Allenby memasuki Palestin pada 9 Disember 1917 lalu memberi ucapan "Hari ini perang salib sudah berakhir" yang bermaksud kejayaan telah berjaya dicapai.
Pada tahun 1919, kerajaan Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasan yang luas termasuklah Palestin setelah berakhirnya Perang Dunia Pertama. Dari sini, kita boleh lihat positif dan negatif semangat nasionalisme. Bangsa Uthmaniyyah berjaya membina empayar Islam yang kuat dan melindungi negara-negara Islam yang lain tetapi kerajaan Arab Saudi yang kononnya mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi telah menyerang kerajaan Uthmaniyyah sehingga negara-negara Islam yang memerlukan perlidungan menjadi korban dan dijajah oleh negara bukan Islam dan kini, dikuasai oleh bangsa Yahudi.
Oleh itu, kita kena faham konsep nasionalisme dengan betul-betul mendalam. Nasionalisme itu pada keseluruhannya adalah dituntut dengan bekerja dan berjihad serta merupakan kewajipan setiap jemaah bagi mencapai matlamat masing-masing sehingga InsyaAllah kita bertemu di satu puncak kemenangan. Sebagai bangsa Melayu yang beragama Islam, kita juga dituntut untuk menegakkan kembali syiar Islam dan membantu negara-negara Islam yang lain tidak mengira bangsa. Andainya dengan bangkitnya sesuatu bangsa itu semata-mata kerana memperjuangkan agama Islam, maka sebagai umat Islam kita hendaklah menyokong bangsa tersebut dengan pertalian aqidah yang sama.
.