Thursday, March 27, 2014

Nasionalisme

Assalamualaikum.......


       Hari ini Nieyl nak cakap pasal 'Nasionalisme', sebuah perkataan yang definisinya agak berat untuk difahami tetapi penting untuk diperjuangkan oleh setiap bangsa. Ada ramai ulama yang membahaskan perkataan ini. Ada yang menggalakkan dan ramai juga yang menolaknya. Apakah itu 'Nasionalisme' sebenarnya? Pengertian nasionalisme ialah mencintai bangsa dan negara sendiri serta kesedaraan ahli-ahli  dalam sesuatu bangsa untuk bersama-sama mencapai, mempertahankan dan mengabadikan identiti, integriti, kemakmuran dan kekuatan bangsa. Asalkan tidak terpisah dari Islam. Ini bermaksud, kita mampu untuk menjadi Muslim yang bertakwa dan nasionalis yang sejati pada waktu yang sama.  

       Bagi Ikhwanul Muslimin, sekiranya generasi muda sesuatu bangsa tersebut mengikut generasi yang terdahulu pada sudut kemuncak ketinggiannya, kebesarannya, pintar dan mempunyai hikmah yang tinggi, sekiranya generasi terdahulu sesuatu bangsa menjadi contoh yang baik kepada generasi muda, sekiranya dalam sesuatu bangsa itu, kebesaran nenek moyang adalah sesuatu yang dibanggakan oleh anak cucu dan mereka mendapat  semangat yang didorong oleh hubungan keturunan, maka perkara-perkara tersebut amat digalakkan dan diterima untuk diamalkan. Dalam sabda Rasulullah Sallallahu'alaihi Wassalam :
"Manusia itu galian, mereka yang terpilih dalam jahiliyahnya, mereka itulah juga yang terpilih sesudah Islamnya sekiranya mereka faham".

       Kalau kita tengok balik sejarah ketamadunan Islam, Empayar Uthmaniyyah ialah simbol kekuasaan Islam yang dikuasai oleh bangsa bukan Arab. Maksudnya disini, tidak semestinya empayar Islam mesti dikuasai oleh bangsa Arab. Orang-orang Turki pada waktu tersebut begitu memegang teguh dengan prinsip nasionalisme dan pada waktu yang sama amat menginginkan jihad untuk menegakkan syiar Islam. Bangsa ini adalah pemimpin-pemimpin yang terus-menerus berjuang menentang Byzantine, lalu wujudlah empayar atau kerajaan Uthmaniyyah yang menampung kerajaan-kerajaan kecil bangsa Turki yang lain. Selain itu, empayar ini juga sebenarnya membantu negara-negara Islam pada zaman tersebut.

       Pernah tengok filem "Lawarence of Arabia"? Kalau belum kena tengok cerita tersebut dan belajar macam mana salah faham mengenai konsep nasionalisme mampu membawa kepada perpecahan umat Islam. Lawrence ialah seorang perisik Britain yang ditugaskan untuk menyuburkan semangat nasionalisme di negara-negara Arab dengan beranggapan bahawa hanya bangsa Arab sahaja yang layak untuk menguasai empayar Islam, menjadi pelindung bagi Muslim di Palestin, Afghanistan, Iraq, Pattani, Rohingya, Bosnia, Azebaijan dan di seluruh dunia bukannya bangsa Turki. Lawrence telah menghasut kerajaan Arab Saudi untuk menyerang Turki.

       Pemerintah Arab ketika itu, Emir Faisal 1 berpaling tadah dan terpengaruh dengan hasutan Lawrence. Beliau telah memihak kepada Britain dan sejak itu, kerajaan Arab Saudi menjadi tali barut Britain. Sebenarnya, tujuan Lawrence yang sebenarnya ialah untuk memastikan kerajaan Turki runtuh supaya Britain dapat menduduki semula kawasan Palestin yang pada waktu itu di bawah perlindungan kerajaan Uthmaniyyah. Akhirnya, misi terlaksana dan pada tahun 1917, Britain menduduki semula kawasan Palestin. Tentera Britain yang diketuai oleh General Allenby memasuki Palestin pada 9 Disember 1917 lalu memberi ucapan "Hari ini perang salib sudah berakhir" yang bermaksud kejayaan telah berjaya dicapai.

       Pada tahun 1919, kerajaan Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasan yang luas termasuklah Palestin setelah berakhirnya Perang Dunia Pertama. Dari sini, kita boleh lihat positif dan negatif semangat nasionalisme. Bangsa Uthmaniyyah berjaya membina empayar Islam yang kuat dan melindungi negara-negara Islam yang lain tetapi kerajaan Arab Saudi yang kononnya mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi telah menyerang kerajaan Uthmaniyyah sehingga negara-negara Islam yang memerlukan perlidungan menjadi korban dan dijajah oleh negara bukan Islam dan kini, dikuasai oleh bangsa Yahudi.

       Oleh itu, kita kena faham konsep nasionalisme dengan betul-betul mendalam. Nasionalisme itu pada keseluruhannya adalah dituntut dengan bekerja dan berjihad serta merupakan kewajipan setiap jemaah bagi mencapai matlamat masing-masing sehingga InsyaAllah kita bertemu di satu puncak kemenangan. Sebagai bangsa Melayu yang beragama Islam, kita juga dituntut untuk menegakkan kembali syiar Islam dan membantu negara-negara Islam yang lain tidak mengira bangsa. Andainya dengan bangkitnya sesuatu bangsa itu semata-mata kerana memperjuangkan agama Islam, maka sebagai umat Islam kita hendaklah menyokong bangsa tersebut dengan pertalian aqidah yang sama.



.

Tuesday, March 18, 2014

Pemuda

Assalamualaikum.......
  
       Sebelum tu nak tanya sikit, kenal Usamah bin Zaid? kenal Az-Zubair bin Awwam? kenal Sa'ad bin Abi Waqash? TIDAK!!! kenal Justin Bieber? kenal Zac Efron? kenal Lee Min Ho? EVERYONE KNOWS THEM, RIGHT!!! Siapa mereka? Mereka adalah dalam golongan pemuda yang diangkat oleh seangkatan dunia sebagai belia yang hebat. Apa beza tiga pemuda yang pertama dan yang kedua tu? Tiga pemuda yang pertama ialah pemimpin muda Islam yang berjuang menegakkan syariat Islam tetapi yang lain tu pulak ialah pemuda yang banyak mempengaruhi dan digilai oleh remaja dengan wajah yang kacak dan watak romantis yang dilakonkan dalam drama sekarang.

       Baru-baru ini, negara kita dikejutkan dengan 6 orang remaja maut termasuk 3 orang gadis yang disyaki mengambil  dadah berlebihan sehingga mengalami sesak nafas di konsert 'Future Music Festival Asia'. Rasa sangat rugi sebab mereka mati dalam keadaan yang tidak baik bagi seorang Muslim dan mereka bakal menjadi pemimpin yang akan menerajui negara pada suatu hari nanti. Nanti akan ada pula konsert 'Paint Party' yang bakal berlangsung. Berapa ramai pula remaja Muslim yang akan terkorban berjuang dalam memuaskan hawa nafsu? Kita sepatutnya lebih sensitif akan penganjuran konsert seperti ini dan apa-apa lagi acara yang mampu merosakkan bakal pemimpin kita pada masa hadapan.

       Usamah bin Zaid, menjadi panglima perang sejak usianya 19 tahun. Tidakkah kita rasa malu dengan beliau? Nieyl sendiri rasa malu sebab bila reflek balik diri sendiri, apalah sangat sumbangan yang Nieyl buat pada usia 19 tahun. Beliau seorang yang cerdik dan pintar, bijak sana dan pandai, takwa dan wara. Beliau sentiasa menjauhkan diri dari perbuatan tercela. Inilah sebenarnya fitrah manusia yang Islam cuba didik dalam diri kita. Az-Zubair bin Awwam pula, sorang anggota pasukan berkuda, tentera yang berani, pemimpin dakwah Islam pada usia 15 tahun. Kalau kat Malaysia, kita perlu ambil peperiksaan PMR di sekolah. Beliau dah jadi macam-macam dan memberikan sumbangan yang macam-macam.

       Jom kenal Saad bin Abi Waqash. Beliau seorang sateria berkuda Muslimin palaing berani pada usia baru 17 tahun. Kita pada waktu tu sibuk dengan SPM. Beliau juga dikenali sebagai pemanah terbaik, sahabat yang pertama mengalirkan darahnya untuk Islam malah disebut oleh Rasulullah sebagai penduduk syurga. Nieyl pasti di sekolah tertentu pasti ada kelab memanah kan? Pada pendapat Nieyl, Nieyl menggalakkan untuk pelajar-pelajar yang berpeluang sertailah kelab tersebut. Kenapa? Sebab Rasulullah pernah sebut mengenai kebaikan sukan tersebut dalam Hadis Baginda. Permainan ini juga termasuk dalam sunah Baginda.
"Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu." Riwayat Bazzar dan Thabarani.

       Remaja pada zaman sekarang terlalu dahagakan keseronokan. Oleh sebab itu, apa-apa sahaja benda yang seronok dibuat akan dilakukan sama ada kerana terikut-ikut dengan sikap kawan atau untuk memuaskan hawa nafsu. Aktiviti seperti rokok, pergaulan bebas, lepak, mat rempit, dan dadah dianggap sebagai perkara yang menyeronokkan. Cuba tengok idola remaja sekarang Justin Bieber, sudah berapa kali kena tangkap memandu di bawah alkohol dan menunjukkan gambar yang tidak senonoh di laman web. Adakah sikap seperti ini yang perlu kita agung-agungkan padahal kita sendiri ada tokoh yang lebih hebat dan lebih layak diagungkan sebenarnya. 

       Sudah-sudahlah seronok dengan perkara yang tidak membawa sebarang faedah kepada sesiapapun. Selepas ini siapa lagi yang boleh diharapkan untuk memipin negara kalau bukan remaja kita sendiri. Takkan kita nak kesilapan berulang kembali dengan mengharapkan kuasa luar untuk memimpin negara kita. Sampai bila kesilapan harus berulang? Sampai bila kita nak dijajah secara mental? Sampai bila kita nak berseronok? dan Bila kita nak bangun? Ada jawapannya? Nieyl pesan kepada diri sendiri dan semua orang di luar sana, masa untuk kita bersikap lebih matang dan bergerak maju ke hadapan sudah tiba. Ingat, matang tidak dikira dengan usia. Kalau usia 19 tahun boleh jadi panlima perang seperti tokoh Islam terdahulu, takkan zaman sekarang umur 91 tahun baru nak matang. BANGUN DARI MIMPI DAN KEJAR REALITI.


Monday, March 10, 2014

Ada Hikmah di Sebaliknya

Assalamualaikum.......


       Sebelum tu Nieyl nak tanya, ingat lagi tak Perjanjian Hudaibiyah yang kita belajar dalam subjek Sirah waktu sekolah rendah dulu? Kalau tak ingat, sila ingatkan kembali. Kenapa? Sebab sejarah mungkin akan berulang di negara kita. Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani antara pihak Musyrikin Mekah dengan Rasulullah di Hudaibiyah. Antara isi perjanjiannya ialah orang Islam dibenarkan memasuki Mekah pada tahun berikutnya, tinggal di Mekah selama 3 hari sahaja dengan hanya membawa senjata bersarung, orang Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga dikembalikan semula dan orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan.

       Kalau kita tengaok balik perjanjian tersebut, isi kandungannya lebih memihak kepada Musyrikin Mekah dan kurang bermanfaat kepada orang Islam sehingga Saidina Umar al-Khattab sendiri tidak berpuas hati dengan perjanjian tersebut. Tetapi kenapa Rasulullah tetap menandatanganinya? Sebab Rasulullah nampak hikmah di sebaliknya. Antara hikmah tersebut ialah berkembangnya syiar Islam, Musyrikin Quraisy semakin lemah dan membuka jalan kepada pembebasan Mekah daripada Musyrikin Quraisy. Betapa Allah Maha Mengetahui dan Maha Pelindung kepada umat Islam. Cuba kita kaitkan peristiwa tersebut dengan Perlembagaan Malaysia sekarang.


       Perlembagaan Persekutuan dirangka oleh Suruhanjaya Reid yang diketuai oleh hakima Mahkamah Rayuan England iaitu Lord Reid. Kalau kita boleh mnyusuri lagi jauh ke belakang, Tanah Melayu pada zaman dahulu diperintah oleh Raja-raja Melayu yang mnguasai hampir semua aspek seperti ekonomi dan pendidikan. Tetapi apabila kerajaan Inggeris ingin menubuhkan Malayan Union, hak dan kuasa Raja-raja Melayu telah dirampas dan kesannya dapat dilihat sehingga sekarang dimana Raja-raja Melayu hanya berkuasa dalam hal agama Islam dan adat istiadat orang Melayu sahaja. 


Perlembagaan Malaysia

Perkara 3. Agama bagi Persekutuan,  
(2) Di dalam tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai     Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh     Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat; tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan, setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya. 

       Walaupun begitu, jangan pandang serong kepada kuasa Raja-raja Melayu sekarang. Sejak akhir-akhir ini, kita boleh lihat parti-parti politik yang bukan bumiputera sudah berebut-rebut untuk mendapatkan jawatan tertinggi dalam organisasi pemerintahan kerajaan dan kerusi di Parlimen. Walaupun Perlembagaan Malaysia tidak mewajibkan Perdana Menteri dilantik dalam kalangan bukan bumiputera, andainya orang Melayu tidak bersatu dan berpecah-belah, kuasa orang Melayu di peringkat tertinggi akan terancam. Tetapi itu bukannya kesudahannya kerana kita masih ada benteng yang terakhir iaitu Raja-raja Melayu. Nauzubillah, Nieyl tidak mendoakan hal ini tetapi andainya agama Islam akan dilucutkan daripada menjadi agama bagi persekutuan oleh pihak-pihak durjana, perkara tersebut tidak akan berlaku.


       Sudah termaktub dalam persekutuan bahawa Raja-raja Melayu, Yang di Pertua Agong merupakan Ketua Agama Islam yang bermaksud, selagi Raja-raja Melayu masih ada, syiar Islam akan terus berkembang. Subhanallah, Allah telah selamatkan agama Islam dari sudut perundangan walaupun kita nampak perkara tersebut kecil, tetapi impaknya besar untuk menyelamatkan akidah umat Islam di negara ini. Nieyl tahu ramai yang tidak berpuas hati dengan Rja-raja Melayu dan kerabat diraja Melayu sekarang. Nieyl pun lebih kurang je.... Tetapi kita kena fikir umat Islam sejagat dan kepentingan institusi diraja Melayu itu sendiri. Perkara-perkara tak senonoh yang dilakukan oleh Raja-raja Melayu atau ahli kerabat diaraja tersebut ialah urusan mereka dengan Allah. Tanggungjawab kita sekarang ialah mempertahankan agam Islam yang suci ini melalui institusi Raja-raja Melayu sahaja.





       


Saturday, January 4, 2014

Selamat Tinggal Penjajahan.... Fizikal dan Mental

Assalamualaikum.......

       Malaysia pernah dijajah selama lebih 400 tahun bermula dari kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka. Walaupun kita sudah merdeka pada 31 Ogos 1957 setelah bersusah-payah berualng-alik ke London untuk berunding dengan pihak British, adakah kita betul-betul merdeka? Cuba tengok diri dan sekeliling kita. Baju yang kita pakai sekarang, rumah tempat tinggal kita sekarang dan mungkin lagu yang sedang kita dengar sekarang. Mungkin secara fizikalnya kita merdeka kerana kita berjaya memerintah negara mengikut cara kita tetapi bukan dari sudut pemikiran.

       Kalau Nieyl kaitkan penjajah dengan jahiliyah, boleh faham tak? Apa kaitannya? Mula-mula sekali, kita kena tahu maksud jahiliyah iaitu jahil atau tidak tahu tentang Allah SWT, para RasulNya dan syariat Islam. So boleh la kan sebab penjajah yang menjajah kita lebih dari 400 tahun tu bukan Islam pun. Kalau kita cuba kaitkan dengan yang atas tadi, apa yang Nieyl cuba sampaikan ialah kita masih dijajah oleh pemikiran jahiliyah yang dibawa oleh penjajah yang bukan Islam sebab jahiliyah ialah bukan Islam.

       Cuma perbezaan antara kita dengan kaum Quraisy Mekah sebelum kedatangan Islam ialah kita tergolong dalam jahiliyah moden iaitu ada 2 golongan sama ada golongan Muslim yang sedia jahil tentang Islam atau golongan Muslim yang tahu, tetapi tidak mahu melaksanakan Islam. Yang mana lebih teruk? Pada pandangan Nieyl la kan, yang kedua tu. Kenapa? sebab dah tahu tapi tak tahu. Kenapa buat-buat tak tahu? Sebab terlalu terpesona dengan idealisme dan unsur-unsur penjajah yang masih melekat dalam diri melalui hiburan dan media massa walaupun setiap tahun pada 31 Ogos, mulut pasti akan melaungkan perkataan 'MERDEKA'. Merdekakah kita?

       Ibnu Taimiyah ada menghuraikan ayat 51-52 dari surah An-Nisa', Allah mencela golongan yang telah menerima kitab, tapi masih lagi beriman kepada sesuatu yang di luar risalah. Mereka lebih mengutamakan 'orang luar' risalah berbanding orang-orang yang beriman. Ibnu Taimiyah ialah seorang sarjana Sunni dari Turki. Kita ambil contoh paling dekat pendidikan Islam di sekolah. Nieyl bukanlah tidak suka sistem pendidikan sekarang cuma kadang-kadang ada perkara yang perlu diperbetulkan.

       Kita belajar buku teks agama, belajar hadis, tilawah al-Quran, sejaran tokoh Islam tapi bila belajar Sejarah, Biologi, Fizik, kita lebih banyak mengambil idea tokoh-tokoh luar yang bukan Islam sedangkan kita ada tokoh-tokoh Islam terdahulu yang lebig mahir dan sumber rujukan yang paling hebat sepanjang zaman iaitu al-Quran. Lagipun kalau belajar buku teks Sejarah betul-betul, kita akan dapati bahawa kebanyaka sejarah yang dipelajari banyak menyebelahi pihak Barat dan pihak bukan Islam. Hal ini menunjukkan kita masih lagi terikat dengan unsur sekularisme iaitu memisahkan hal dunia dengan hal agama.

       Lagi satu, orang Melayu dari dulu sampai sekarang semangat kenegerian tersangat kuat dan kadang-kadang malampau apabila musim bola. Padahal kita semua tinggal dalam satu negara dan berpegang kepada satu akidah. Allah menjelaskan bahawa umat Islam disatukan dengan kesatuan aqidah. Maka tidak sepatutnya seorang mukmin itu sombong dengan pangkat, kuasa, darah keturunan, bangsa, semangat kenegerian dan asal usulnya. Ia tiada nilai disisi Allah.


       Memandangkan pembaca sudah pun membaca 6 perenggan diatas, masih lagi tak tahu atau buat-buat tak tahu? Tepuk dada tanya iman. Cuma Nieyl berharap fenomena yang wujud dalam masyarakat kita yang terlalu taksub dengan kenegerian, pangkat atau kuasa yang dimiliki akan terhapus. Andai kata sikap ini berterusan, sampai bila-bila pun orang Melayu tidak akan bersatu. Cukuplah dengan idea sekularisme yang sudah sebati dalam diri kita akibat dari penjajahan takkan kita nak wujudkan lagi jurang antara kita? Renungkanlah........


Sunday, October 13, 2013

Tanahku... Tempat Tumpahnya Darahku

Assalamualaikum.......

       Tidak lama dahulu, negara kita pernah digemparkan dengan tindakan kerajaan negeri Kelantan yang meluluskan dengan sewenang-wenangnya pemberian tanah balak lebih 4000 hektar kepada bukan Bumiputera dan anak jati negeri itu. Dikatakan bahawa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara terang-terangan berbohong dan sanggup menggadaikan hak rakyat Kelantan demi menjaga hubungan dengan parti pembangkang. Malah ada juga pihak yang mengatakan bahawa pemberian tersebut tidak masuk akal dan jelas mempunyai motif politik.

       Kenapa tiba-tiba Nieyl ungkit balik cerita ni? Nieyl baru je habis baca buku tentang Perang Arab-Israel karya Sabaruddin Hussein terbitan PTS Islamika. Dah bagitau tajuk buku, penulis dan penerbit, nanti jangan lupa cari dan baca tau. Apa yang berlaku di Kelantan seolah-olah membenarkan sejarah di Palestin berulang kembali di negara kita. Kita sendiri pernah belajar di sekolah, "sesiapa yang tidak mempelajari sejarah, akan berpotensi untuk mengulangi sejarah tersebut". Kalau sejarah yang baik takpe, tapi kalau yang membawa kepada perang?

       Kebanjiran Yahudi di Palestin mendorong kepada perlunya diwujudkan kawasan kediaman yang sempurna buat pendatang haram yang begitu ramai. Antara tahun 1920-1939, Yahudi membeli hampir 1.5 juta ekar tanah di Palestin daripada tuan tanah berbangsa Arab yang tinggal di luar Palestin. Ketamakan pada wang yang ditawarkan oleh Yahudi kepada tuan tanah ini menyebabkan penyewa miskin yang sekian lama mendiami tanah itu terpaksa berpindah dan meninggalkan kebun dan ladang yang mereka kerjakan sejak beberapa generasi sebelum itu. Golongan berada Arab ini terlalu impikan wang panas yang diterima daripada penjualan tanah biarpun mereka tahu Yahudi yang datang ke Palestin pasti mempunyai tujuan jahat yang akhirnya merugikan umat Islam juga.

       Kita perlu mengambil iktibar daripada situasi di Palestin yang berpunca daripada sikap umat islam sendiri. Sememangnya pemberian tanah di Kelantan itu tidak bertanggungjawab dan mencalarkan imej dan integriti 'keislaman'kerajaan negeri. Nieyl cuma nak tekankan disini pemilikan tanah adalah elemen penting dalam menentukan kedudukan kita di negara kita sendiri. Sebab itu di dalam perkara 89 fasal (6) menjelaskan bahawa 'tanah rezab orang Melayu' ertinya tanah yang disimpan untuk diberi hak milik kepada orang Melayu atau kepada anak negeri tempat terletaknya tanah itu.


       Memandangkan kita sudah mempelajari sejarah, kita hendaklah mengelakkan daripada menjual pemilikan terpenting ini kerana apabila terlepas ia pasti tidak dapat dimiliki semula. Sekiranya terpaksa, cari pembeli dalam kalangan kita supaya tidak tergadai harta peninggalan nenek moyang untuk generasi bangsa seterusnya.

       

Saturday, May 11, 2013

Ekonomi Melayu Sekarang

       Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan dalam tempoh 20 tahun dilancarkan pada tahun 1971. Hasilnya, Malaysia dan orang Melayu boleh berbangga dengan terlaksananya projek besar yang dapat menaikkan imej negara dan bangsa seperti Petronas dan projek kereta nasional Proton Saga. Namun, itu semua belum mencukupi. Setelah DEB berakhir pada tahun 1990, orang Melayu masih ketinggalan dalam semua bidang. Pencapaian KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) berbeza dengan ketara apabila didapati negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Pahang, Kelantan dan Perak yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu masih ketinggalan.

       Berdasarkan perkara di atas, kita dapat lihat bahawa masalah ekonomi Melayu tetap tidak selesai walaupun setelah 20 tahun DEB dilancarkan. Sehinnga kini, bilangan jutawan Melayu yang tersenarai mampu dibilang dengan jari dan peratusannya tidak sampai 30% walaupun majoriti penduduk di Malaysia ialah orang Melayu. Tanpa kita sedari, kita sebenarnya telah ditindas olah bangsa lain yang mahu mengaut kekayaan di tanah air kita sendiri. Memang benar, Malaysia sekarang merupa negara yang sedang membangun. Tetapi, pernah kita terfikir, apa akan jadi sekiranya Malaysia ini hanya dihuni oleh orang Melayu sahaja tanpa bangsa lain? Adakah kita mampu mencapai apa yang telah dicapai sekarang? Kita masih lagi mengharapkan bantuan bangsa asing untuk membangunkan negara sendiri. Itulah hakikatnya.

       Sekarang, kita kena mencari kekuatan sendiri. Sekiranya bangsa lain boleh, mengapa Melayu tidak boleh? Kita kena kembali semula kepada al-Quran dan as-Sunnah. Setiap masalah yang dihadapi oleh umat Islam, jalan penyelesaiannya pasti terdapat pada dua sumber ini. Kita kena pegang dan patuh kepada dua sumber ini selagi hayat dikandung badan. Kita kena mencari tokoh dan ilmuan Islam yang berjaya dalam bidang ekonomi yang berpaksikan prinsip ekonomi dalam Islam. Salah satu faktor kenapa orang Melayu ketinggalan ialah kerana kita terlalu taksub dengan prinsip dari Barat sedangkan prinsip dari Allah yang sememangnya mengikut fitrah manusia semakin dilupakan.

       Kenal Ibnu Qayyim? Beliau merupakan ilmuan Islam yang banyak menyumbang dalam falsafah ekonomi Islam. Ibnu Qayyim dalam penulisannya telah menyentuh beberapa perkara iaitu konsep manusia Islam (homo islamicus) dan manusia bukan ekonomi (non homo economicus), konsep keadilan dan nilai-nilai etika dalam ekonomi, aktiviti ekonomi, kerjasama dan pembahagian buruh, pemilikan harta kekayaan oleh individu dan peranan kerajaan dalam ekonomi. Ibnu Qayyim menekankan konsep kerjasama dalam ekonomi dan tanggungjawab sosial. Kerjasama ini akan memberikan pulangan dengan anugerah-anugerah yang tidak boleh dinikmati jika bekerja secara sendirian.

       Namun begitu, Melayu sekarang bukannya bekerjasama antara sesama sendiri, sebaliknya bekerjasama dengan bangsa asing yang akhirnya menggadaikan hak dan kepentingan bangsa Melayu. Contohnya, kita sedia maklum bahawa Singapura sememangnya sering menghina dan memperlekehkan Malaysia. Tetapi, pada November 2006, projek pembangunan mega "Wilayah Pembangunan Iskandar" yang dilancarkan telah menguntungkan Singapura daripada Malaysia sendiri. Hal ini kerana, projek tersebut membeli peluang industri sokongan bernilai rendah republik itu dan segala sumber negara Singapura itu ditumpu sepenuhnya kepada industri nilai tinggi seperti ICT, bio-teknologi, perkhidmatan kewangan dan pasaran modal. Akhirnya pembangunan yang diharapkan bertukar lalu menyebabkan kepentnga Melayu terabai.

       Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, ingatlah... Allah menganjurkan umatnya untuk menjadi umat yang kaya-raya supaya supaya dapat melaksanakan ibadah dengan mudah seperti haji dan jihad. Tetapi, dalam mengejar kekayaan janganlah sehingga sanggup menggadai maruah diri dan bangsa serta jalinkanlah kerjasama ekonomi sesama Islam agar ekonomi Islam dapat berkembang. Jangan sekali-kali berputus asa kerana salah satu punca mengapa orang Melayu sering kali gagal di pertengahan jalan kerana kita selalu cepat mengalah dan terus berserah kepada takdir. Berdoa, berusaha bersungguh-sungguh dan akhir sekali, bertawakal... itu lebih baik daripada berputus asa.


My Grandmother’s Wish

        After my mother, the next strong woman that I know closely in my life is my grandmother and I call her as ‘Tok’. I still remember ...